PERSIAPAN SEBELUM MELAKUKAN AKTIVITI LASAK


Penglibatan di dalam kegiatan lasak mahupun pelbagai jenis aktiviti Pelancongan Kembaraan adalah baik dan sememangnya wujud sebagai sesuatu yang mengujakan. Namun begitu, penglibatan sebegini juga tidak imun kepada pelbagai bentuk risiko serta kemalangan. Malah, kemungkinan untuk berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ketika beraktiviti adalah tinggi serta boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja, termasuklah kecacatan dan kematian.

Secara umumnya ini berpunca daripada kealpaan penggiat atau pelaksana aktiviti itu sendiri. Kita mungkin alpa dan seolah-olah begitu cepat melupakan kejadian-kejadian yang telah banyak berlaku sebelum ini. Kita juga mungkin tidak ambil endah tentang kepentingan pengurusan risiko walaupun hakikat sebenarnya, tidak ada walau satu aktiviti lasak pun yang bersifat ‘zero risk’. Keadaan ini juga seolah-olah menunjukkan bahawa kita masih tidak belajar ataupun kurang mengambil iktibar dari kesilapan dan kecuaian yang telah dilakukan terdahulu. Ini ditambah pula dengan keingkaran kita dalam mengikuti nasihat yang diberikan ataupun larangan yang telah dikenakan oleh pelbagai pihak. Segala aspek ini kemudiannya membawa kepada kurang kesedaran (awareness) terutamanya dari sudut penjagaan keselamatan, khususnya persiapan teliti sebelum melakukan aktiviti.

Dari sudut persiapan ini, ada banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum melibatkan diri. Kadang-kadang bukannya sebab kita tidak tahu ataupun tidak melakukan persiapan langsung tetapi akibat terlalu banyak aspek yang perlu diteliti, maka ada di antara aspek penting tersebut kita ‘terlepas pandang’. Oleh yang demikian, penulis kongsikan di sini satu kaedah mudah bagaimana untuk mengingatkan diri sendiri atau memastikan yang kita ini sudah melaksanakan apa yang sepatutnya kita lakukan sebelum menjalankan/melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti (tidak kira apa jua aktiviti lasak sekalipun). Kaedah ini adalah hasil rekaan penulis dan sering penulis amalkan sebelum melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti lasak.

Kaedah ini adalah direka berdasarkan pendekatan mnemonic iaitu satu teknik untuk membantu mengekalkan daya ingatan terhadap sesuatu perkara dalam memori kita. Sebelum melaksanakan sesuatu aktiviti, kita perlu lakukan enam perkara utama. Enam perkara utama ini penulis ringkaskan dalam bentuk satu perkataan yang mudah untuk kita ingat. Huraian perkataan tersebut adalah seperti berikut; sentiasa beringat bahawa apabila kita ingin menjalankan sesuatu aktiviti ataupun berkunjung ke sesebuah destinasi untuk melakukan aktiviti tersebut, kita adalah disarankan untuk memaklumkan niat kita itu kepada orang lain. Dengan kata lain, kita perlu ‘REPORT to somebody’. Jadi, perkataan ‘REPORT’ ini sebenarnya adalah merujuk kepada:

R – Risk & safety management planning
E – Equipment & vital necessities
P – Permission, Permit & Police notification
O – Organization of the activity / trip
R – Responsibilities of leaders, guides or operators
T – Training for fitness & associated competencies

Penjelasan ringkas berkaitan apa yang tertera di atas adalah seperti berikut:

R – Risk & safety management planning

Apa jua aktiviti yang kita lakukan atau ke mana sahaja lokasi yang kita tuju, tiada jaminan yang kita akan selamat 100%. Risiko boleh berlaku bila-bila masa terutamanya apabila kita atau individu-individu yang turut sama terlibat bersama kita cuai. Jadi, sebelum melakukan sesuatu aktiviti, luangkan masa yang secukupnya untuk mendapatkan maklumat tentang aktiviti dan lokasi tersebut. Gunakan pengalaman sendiri mahupun orang lain (bertanyakan kepada mereka yang lebih tahu atau mahir) berkaitan risiko-risiko yang berkemungkinan boleh berlaku. Seterusnya, rancangkan prosedur-prosedur keselamatan yang sewajarnya diaplikasikan di sepanjang tempoh pelaksanaan aktiviti yang bakal kita jalani itu (termasuklah tindakan susulan seperti perlindungan insurans kemalangan). Sekiranya tahu, hasilkan dokumen RAMS (Risk Analysis & Management System) untuk kegunaan semua (sekiranya kita menjadi penganjur aktiviti) ataupun RAMS untuk diri sendiri sebagai satu usaha bagi mencegah sesuatu kemalangan dari berlaku. Fikir dan rancang dengan teliti berkaitan aspek ini samaada secara berseorangan ataupun dilakukan secara berkumpulan dan cuba jauhkan diri dari mengambil mudah semua perkara (take everything for granted). Terapkan di minda bahawa ‘prevention is better than cure’ dan ‘better safe than sorry’.

Satu lagi perkara penting ialah kita seharusnya tahu untuk ‘mengukur baju di badan sendiri’ atau mengenalpasti keupayaan diri kita sendiri. Adalah menjadi satu langkah yang bijak sekiranya kita dapat menjauhi keterujaan (temptation) buat sementara waktu untuk melakukan sesuatu aktiviti sekiranya pada waktu itu fizikal kita tidak berada dalam keadaan yang optimum, kita tidak sihat sepenuhnya ataupun kita masih kekurangan ilmu untuk merawat atau self-rescue sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada kita. Hindari diri dari memaksa fizikal kita dalam keadaan sebegini kerana ianya berpotensi membawa kepada bentuk-bentuk kemudaratan tertentu seperti ‘Cardiac Arrest’ (satu penyebab kematian berkaitan jantung yang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia).

E – Equipment & vital necessities

Peralatan akan membantu kita melaksanakan sesuatu aktiviti dengan lancar dan selesa. Tambahan lagi, dengan wujudnya state-of-the art technologies dalam industri aktiviti lasak masa kini, ianya mampu memudahkan lagi penglibatan kita. Fikir dan tentukan secara spesifik setiap peralatan yang perlu dibawa bersama ataupun bakal digunakan berdasarkan keperluan sesebuah aktiviti. Di samping itu, kita juga perlu memastikan bahawa setiap peralatan tersebut berada dalam kondisi yang optimum (berdasarkan spesifikasi yang diutarakan dalam Technical Notice berkaitan peralatan tersebut), berfungsi dengan baik (jalankan ujian dan pemeriksaan kerap sebelum melaksanakan aktiviti) serta mencukupi kuantitinya.
Selain itu, kita juga perlu memastikan bahawa peralatan sokongan (supporting equipment) seperti personal first aid kit serta personal survival kit berada dalam keadaan baik dan mencukupi isi kandungannya. Peralatan-peralatan ini bukan sahaja mampu memudahkan kita melakukan sesuatu tindakan kecemasan (apabila kita memerlukannya) malah turut berupaya untuk mempercepatkan lagi tempoh masa rawatan serta beberapa proses evakuasi berkaitan (tindakan keluar dari zon bahaya) sekira berlakunya sesuatu kemalangan kepada kita

P – Permission, Permit & Police notification

Melakukan sesuatu aktiviti di sesebuah lokasi tanpa kebenaran yang sah (valid permission) boleh menyebabkan kita didakwa di mahkamah akibat menceroboh (trespassing) atau boleh juga disabitkan dengan aspek kecuaian (negligence). Jadi, pastikan kita sudah melakukan urusan yang diperlukan bagi tujuan mendapatkan kebenaran sewajarnya dari pihak-pihak bertanggungjawab yang terlibat, terutamanya ‘tuan tanah’, caretaker atau legal custodian bagi sesebuah lokasi pelaksanaan aktiviti tersebut.

Sekiranya perlu mendapatkan permit, usahakan dengan sebaik mungkin dan dapatkan permit tersebut sebelum melaksanakan sesuatu aktiviti. Selain itu, adalah menjadi amalan yang baik juga sekiranya kita dapat mengingatkan mana-mana penganjur berkaitan aspek ini. Begitu juga dengan laporan polis. Sekiranya perlaksanaan aktiviti di sesebuah lokasi tersebut memerlukan kita membuat laporan kepada pihak PDRM (sebelum dan selepas aktiviti), kita perlu akur akan arahan tersebut.

Dari konteks ini, sekiranya kita dilarang oleh mana-mana pihak berwajib untuk melakukan aktiviti di sesebuah lokasi, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk tidak melakukannya di situ. Setiap arahan atau peraturan yang dikenakan itu ada sebab-musabab dan justifikasinya, walau sekaya mana pengalaman yang bakal diperolehi atau secantik mana pun pemandangan yang bakal dinikmati di lokasi tersebut. Kita juga perlu sedar bahawa tidak menjadi sesuatu yang mandatori kepada mana-mana ‘tuan tanah’, caretaker atau legal custodian untuk memaklumkan kepada kita sebab/justifikasi larangan, namun adalah menjadi mandatori untuk kita mematuhi setiap larangan yang telah dikeluarkan tersebut.

O – Organization of the activity / trip

Sila pastikan bahawa kita merancang sesuatu aktiviti dengan baik sekiranya kita menginginkan aktiviti yang bakal kita jalankan tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar. Aspek organisasi beserta pengoperasiannya perlulah ditentukan secara menyeluruh dan terperinci. Itinerari (meliputi keperluan tempoh masa yang bersesuaian dengan kategori penggiat, terutamanya apabila terdapat bakal peserta yang beginners/first-timers atau golongan yang mempunyai keupayaan yang berbeza dengan kita) serta contingency plan perlu diwujudkan. Begitu juga dengan penetapan masa (meliputi tempoh masa perjalanan ke lokasi aktiviti) dan lokasi berkumpul yang spesifik (termasuklah bagi tujuan regroup ataupun ‘take five’). Perancangan awal dan modus operandi khusus juga perlu diwujudkan dan ditentukan terhadap setiap tindakan (action) yang bakal dijalankan semasa aktiviti. Dengan kata lain, ‘good planning mirrors good management.’

R – Responsibilities of leaders, guides or operators

Tanggungjawab setiap pelaksana aktiviti perlu jelas dan diperjelaskan/dimaklumkan dengan baik sebelum melakukan sesuatu aktiviti. Sekiranya kita bertindak sebagai penganjur, sebaiknya kita tahu dan faham terlebih dahulu akan setiap spesifikasi tugas dan tanggungjawab kita sebelum kita menganjurkan sesuatu aktiviti. Sekiranya kita sebagai peserta, kita juga perlu mengetahui dan memahami peranan kita sebagai peserta dan tugas-tugas yang perlu dimainkan oleh para pelaksana aktiviti. Aspek ini adalah sangat penting bagi mengelakkan pertindihan tanggungjawab (redundancy of tasks/obligation) ataupun sindrom ‘tidak tahu apa yang perlu dibuat’ di kalangan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan sesuatu aktiviti tersebut. Dengan kata lain, sekiranya aspek ini diberi perhatian utama dan dititikberatkan sebelum aktiviti, besar kemungkinan tidak akan wujud insiden di mana kita menggunapakai khidmat pelaksana aktiviti yang tidak efisien, tidak timbul isu ‘tuding jari’ kepada sesiapa, tidak berlaku tindakan ‘lepas tangan’ setelah terjadinya sesuatu yang tidak diingini, serta tidak tinggi kemungkinan untuk berlakunya insiden-insiden yang boleh disifatkan sebagai ‘against the do’s & don’t’s.’

T – Training for fitness & associated competencies

Sebagaimana yang telah dinyatakan terdahulu, kesemua aktiviti yang bersifat lasak ini memerlukan keupayaan tubuh badan yang optimum serta penguasaan kompetensi-kompetensi tertentu. Ini adalah antara perkara utama yang kita tidak boleh pandang remeh. Sekiranya kita tidak tahu apa-apa ataupun hanya memiliki pengetahuan dan pengalaman yang terhad, kemungkinan untuk berdepan dengan sesuatu kemalangan itu adalah tinggi. Situasi yang sama juga boleh berlaku kepada para penggiat yang ingin melakukan ‘come back’ (dahulunya adalah aktif tetapi telah ‘berehat’ dalam suatu durasi yang agak lama dan secara tiba-tiba ingin kembali aktif). Ini juga agak merisaukan kerana ada segelintir dari golongan ini mempunyai kecenderungan yang sangat tinggi untuk mengandaikan keupayaan fitness serta kompetensi mereka ‘tak lekang dek usia’ (ataupun masih sehebat dahulu), walaupun hakikat sebenar adalah sebaliknya.

Oleh yang demikian, melakukan latihan-latihan fizikal (termasuklah kardio) dalam kekerapan yang sewajarnya perlulah dijadikan amalan wajib sebelum melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti. Begitu juga dengan aspek kompetensi di mana beberapa sesi skill refreshment atau amalan memahirkan semula sesuatu kemahiran berkaitan sebelum penglibatan sebenar di lapangan, perlu dilaksanakan sekiranya kita sudah agak lama tidak mempraktiskannya. Memang wujud unsur-unsur ‘kebetulan’, seperti contohnya ‘beginner’s luck’ tetapi dalam kebanyakkan masa, prestasi dan keupayaan sebenar kita ketika menjalani sesuatu aktiviti itu adalah dipengaruhi oleh tahap persiapan yang telah kita laksanakan sebelum melakukan aktiviti tersebut!

Begitulah secebis ilmu yang ingin dikongsikan berdasarkan apa yang penulis tahu serta amalkan. Tidak semestinya apa yang dihuraikan di atas dilakukan secara turutan atau sequencing (buat ‘R’ terlebih dahulu sebelum ‘E’ dan seterusnya), boleh juga diutamakan mana-mana bahagian berdasarkan citarasa individu, kesesuaian waktu, tuntutan tanggungjawab dan sebagainya. Namun yang pentingnya, kita perlu pastikan keenam-enam perkara tersebut telah dilakukan dengan sesempurna yang mungkin sebelum melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti.