Pengiktirafan GPPAC19 Terus Meyakinkan Agensi Pelancongan Unggul


Nama Brighton Travel and Tours (Brighton), yang berpejabat di Miri, tidak asing lagi sebagai sebuah agensi pelancongan yang unggul di Sarawak, jika tidak juga di seluruh Malaysia. Ini terbukti setelah Brighton tersenarai sebagai agensi finalis di antara lima terbaik dalam negara pada Anugerah Tourism Malaysia 2014/15. Pencapaian yang boleh tahan memandangkan ia sebuah syarikat yang agak muda.

Pada mulanya, Brighton diasaskan untuk penyewaan kereta, yakni membekalkan kenderaan kepada syarikat minyak & gas di Miri, tapi kerana lesennya bersekali, maka Brighton juga melancarkan usaha pelancongan pada 2012, dua tahun selepas syarikat ditubuhkan pada 2010.

Di antara khidmat utama Brighton ialah melayani pelanggan melalui penyediaan aturcara perjalanan terpilih khusus tepat dengan minat dan masa yang membolehkan pelanggan mereka mengalami malah ‘berhubungan’ dengan keunikan Sarawak-Borneo Malaysia. Antara pakej kunjungan paling digemari pelanggan Brighton ialah ke Miri, Bario, Kuching dan Negara Brunei Darussalam, selain destinasi lain.

Ekoran itu Brighton telah menjalani proses dan mendapat pensijilan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) bagi tempoh 2021–22. Maka tidak hairanlah Brighton juga proaktif dalam mengambil program pensijilan Garis Panduan Patuh dan Amal Covid-19 (GPPAC19) untuk memastikan ia tetap unggul lagi bertanggungjawab kepada industri, pelanggan dan negara dalam menangani wabak ini.

Kedua-dua program MaTEx dan GPPAC19 ini dikendalikan oleh Tourism Productivity Nexus (TPN) dengan dukungan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Sebagai agensi pelancongan, kejadian wabak Covid-19 apalagi Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown telah menjejaskan operasi Brighton dan semua agensi begini, malah melumpuhkan seluruh industri pelancongan. Semasa PKP diangkat, ada juga sedikit pergerakan pelancongan dan dengan itu kesedaran serta peraturan SOP didapati sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan.

Oleh itu apabila pihak pengurusan Brighton mendapat tahu tentang GPPAC19, mereka terus menyertai program ini. Seterusnya para pengurus dan kakitangan syarikat telah melalui proses penilaian operasi dan mendapati usaha ini memang penting bagi setiap agensi dalam industri agar mengetahui dan mengamalkan panduan dan keperluan menangani wabak Covid-19.

Program ini juga lebih bermanfaat kerana menyokong piawaian pelancongan pandemik Sarawak dan SOP sediadanya. Dengan GPPAC19, ia lebih dikenali di luar negeri kerana mewakili kepentingan dan pengiktirafan peringkat kebangsaan.

Dengan ilmu serta pensijilan GPPAC19, Brighton lebih yakin dalam mengaturkan urusniaganya dengan mengambilkira situasi pandemik sekarang di mana Brighton menggunakan pendekatan strategik, yakni menegaskan semua aspek kesihatan dan kesejahteraan pelanggan mereka dalam membuka jalan untuk lawatan yang cukup selamat di kalangan pelanggan mereka.

Selain menekankan amalan-amalan SOP yang mesti dilaksanakan dengan lebih bersungguh, pendekatan terbaru yang diputuskan oleh Brighton ialah agar semua pelanggan mesti mendapat dua dos vaksin sebelum mengikuti pakej pelancongan mereka. Ini bukan saja melindungi diri tapi juga kakitangan syarikat dan tetamu lain yang menyertai pakej lawatan serta semua orang di tempat-tempat tujuan.

Sememangnya SOP yang dikenakan amat menuntut ketat. Walaupun Brighton menekankan kepatuhan yang teliti terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah GPPAC19, pelanggan pula mungkin ada yang berbeza pendapat kerana ingin ‘ambil mudah’ atau tak tahu dan tak sedar, ataupun hanya ‘tak kesah’.

Maka peringatan berterusan harus diberi kepada pelanggan melalui nasihat peribadi atau pelantar media sosial dan bahan cetakan syarikat termasuk poster dan pelekat khas, di mana semuanya dibuat secara proaktif. Namun semua inisiatif ini memerlukan tenaga usaha tambahan, dan anggaran belanjanya harus disediakan untuk dijalankan.

Namun di sebalik semua itu, pihak pengurusan Brighton beranggapan, “Kami tetap percaya bahawa kempen GPPAC19 ini menuntut kami sebagai syarikat untuk lebih bertanggungjawab dan seterusnya menjadikan industri kami yakin dilihat memeluk amalan selamat dalam operasinya”.

Dari segi operasi, “Walaupun kami belum melihat kesannya kerana perniagaan amat perlahan semasa PKP tapi kami menjangka ia akan meningkatkan produktiviti terutama di kalangan kakitangan dan penyedia perkhidmatan atau pembekal kami kerana pengiktirafan dan keyakinan pelanggan kami terhadap perkhidmatan bersijil yang kami tawarkan. Ini akan meningkatkan semangat kakitangan dan pembekal kami, dan dengan cara itu mempengaruhi produktiviti”, ujar pihak Brighton.

Seterusnya Brighton menegaskan, “Kami menjaga pelanggan kami dari sebelum perjalanan mereka, sepanjang percutian hingga ke selesai lawatan mereka dengan kepatuhan kesihatan yang prihatin dan ketat dalam piawaian perkhidmatan, apalagi dengan pensijilan GPPAC19 memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa Brighton amat menjaga semua pelanggannya”.

Seperti Brighton Travel and Tours, pihak lain yang ingin mendapatkan pensijilan GPPAC19 sila layari matex.my.