Melancong Di Alam Semulajadi


Segala bentuk aktiviti pelancongan yang biasanya dijalankan di kawasan alam semulajadi boleh dikelaskan kepada 4 kategori utama, iaitu Pelancongan Alam Semulajadi (Nature-based Tourism), Pelancongan Hidupan Liar (Wildlife Tourism), Pelancongan Kembaraan (Adventure Tourism) dan Ecopelancongan (Ecotourism). Huraian ringkas atau pemahaman mudah bagi setiap kategori adalah seperti berikut :

Pelancongan Alam Semulajadi (Nature-based Tourism)

Pelancongan Alam Semulajadi secara umumnya adalah pelancongan yang dilakukan bagi menikmati keindahan/keunikkan sesuatu ciri semulajadi (natural features) di sesebuah destinasi. Dengan kata lain, kita melancong ke sesebuah lokasi untuk merasai pengalaman seronok / mengujakan berkaitan ciri-ciri semulajadi yang terdapat di situ (simply enjoying the natural environment and its element). Tidak semestinya melibatkan ciri-ciri atau keperluan pelancongan yang kompleks (seperti pendidikan alam semulajadi, kesedaran konservasi, aktiviti berisiko tinggi dan lain-lain). Output yang diperolehi adalah berbentuk keseronokan peribadi (personal enjoyment) kerana dapat melawat, merasai atau melihat sendiri sesuatu keindahan/keunikan tersebut.

Antara contohnya ialah menikmati keunikan formasi ngarai di Grand Canyon, lawatan melihat keunikan flora di Taman Botani Putrajaya atau berjalan menikmati keindahan pantai Lautan Hindi di Kuta Lombok. Katakuncinya di sini ialah suatu lawatan bagi menikmati keindahan/keunikan sesebuah destinasi dan ciri-ciri semulajadi yang terdapat di destinasi tersebut.

Pelancongan Hidupan Liar (Wildlife Tourism)

Pelancongan Hidupan Liar adalah agak jelas maksudnya. Kita melawat ke sesebuah destinasi dengan tujuan utama untuk melihat hidupan liar. Hidupan liar yang terlibat di dalam bentuk pelancongan ini terbahagi kepada 2 kategori iaitu captive dan non-captive. Captive ini adalah merujuk kepada haiwan-haiwan yang terdapat di zoo, taman haiwan atau pusat konservasi hidupan liar (seperti Kuala Gandah, Jenderak, Sepilok dan lain-lain). Non-captive atau juga disebut sebagai free-ranging pula merujuk kepada hidupan liar yang bergerak bebas di beberapa destinasi yang menawarkan safari tours seperti di Masai Mara National Park, Kenya atau Bandhavgarh National Park, India. Katakunci di sini ialah suatu lawatan yang dilakukan bagi melihat hidupan liar.

Pelancongan Kembaraan (Adventure Tourism)

Pelancongan Kembaraan pula adalah pelancongan yang mempromosikan cabaran-cabaran yang terdapat di kawasan alam semulajadi sebagai daya tarikan utama. Secara spesifiknya, ianya melibatkan penganjuran pelbagai aktiviti lasak dan berisiko tinggi berkaitan cabaran-cabaran yang diwujudkan oleh elemen-elemen semulajadi. Di samping itu, beberapa kemahiran dan peralatan khusus juga adalah diperlukan dalam pelaksanaannya. Antara contohnya ialah Awesome Foursome di Queenstown, New Zealand (Adventure Capital of the World), mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania ataupun berakit arus deras, meneroka gua, hiking dan waterfall abseil di Gopeng, Perak. Katakuncinya di sini ialah suatu lawatan yang dilakukan ke sesebuah destinasi bagi tujuan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang mencabar, lasak dan berisiko.

Ecopelancongan (Ecotourism)

Ecopelancongan pula adalah bentuk pelancongan berkaitan alam semulajadi yang paling banyak mendapat publisiti. Konsep pelaksanaannya adalah sangat spesifik dan memerlukan kewujudan beberapa kriteria khusus bagi menentukan ianya adalah genuine ecotourism ataupun hanya tergolong dalam salah satu kategori pelancongan yang dinyatakan di atas.

Ecopelancongan melibatkan lawatan berkonsepkan environmentally responsible yang dilakukan di relatively undisturbed natural areas. Fokus lawatan adalah untuk menghargai elemen-elemen semulajadi dan kebudayaan di sesebuah destinasi tersebut. Ianya juga dijalankan secara teratur di mana beberapa inisiatif khusus dilaksanakan bagi mewujudkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar, impak pelancong yang rendah (low visitor impacts)dan doronganterhadap penglibatan sosio-ekonomi aktif oleh penduduk setempat. Di samping itu, Ekopelancongan juga menekankan aspek pendidikan alam semulajadi dalam pelaksanaannya, yang mana dilakukan menerusi pendekatan interpretasi alam semulajadi (environmental interpretation).

Contoh mudahnya adalah seperti night walk di Taman Negara atau jungle trekking and aboriginal tour di Wet Tropics World Heritage Site, Australia. Katakuncinya di sini adalah suatu lawatan ke kawasan alam semulajadi yang melibatkan pendidikan alam semulajadi, tahap impak yang rendah, kesedaran terhadap inisiatif konservasi alam dan ciri-ciri kebudayaan yang terdapat di destinasi tersebut serta penglibatan aktif penduduk setempat dalam pelaksanaannya.

Jadi, bagi memudahkan pemahaman kita mengenai perbezaan keempat-empat jenis pelancongan ini, David Newsome, Susan Moore dan Ross Dowling menerusi penerbitan buku mereka bertajuk Natural Area Tourism: Ecology, Impacts and Management  pada 2001, telah menzahirkan perbandingan seperti berikut:

Ecotourism – tourism FOR the environment

Adventure Tourism – tourism IN the environment   

Nature-based Tourism & Wildlife Tourism – tourism ABOUT the environment