Ladang Agro-Resort yang Menjadi Teladan untuk Pematuhan Garis Panduan Covid-19


Bayangkan pemandangan indah, ladang menghijau penuh dengan pelbagai binatang ternakan terutamanya berbagai jenis kambing dan biri-biri, juga ayam dan itik, rusa, burung unta, arnab, merak, dan macam-macam juga di zoo belaian (petting zoo).

Tidak lupa sama-sekali pelbagai tanaman buah-buahan seperti markisa, betik, sirsak, rambutan, durian dan juga tumbuhan lain, serta berbagai kegiatan termasuk jalan-jalan naik bas mini berpandu, makan-makan dan beri makan pelbagai haiwan, tunggang kuda, lawat kampung Orang Asli suku Jakun, kampung budaya dan bermacam lagi, termasuk penginapan chalet.

Inilah UK Farm Agro Resort (UK Farm) di Kluang, Johor yang terletak di atas tanah seluas 130 ekar di dalam Projek Pertanian Moden Kluang di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas-Tani Malaysia. Sebagai destinasi pelancongan-agro dengan bermacam pakej lawatan, semua tarikannya itu sangat sesuai untuk kunjungan bagi berjenis rombongan atau seisi keluarga dari anak kecil ke warga tua.

Di asaskan pada tahun 2003, UK Farm kini ialah ladang terbesar di Malaysia untuk cara ternakan moden bagi 4000 kambing dan biri-biri bersepadu yang melitupi 100 ekar, dan tanah selebihnya untuk semua aktiviti pertanian dan pelancongan yang lain.

UK Farm telah dinobatkan dengan Anugerah Tujuan Pelancongan Agro Terbaik (Best Agrotourism Destination Award) 2017 oleh Majlis Pelancongan Malaysia atau MTC kerana memberikan para pelawat suatu pengalaman perladangan yang menyeluruh, tulen lagi tidak dapat dilupakan. Malah penggambaran filem dan perfotoan pengantin juga salah-satu tarikan di UK Farm.

Namun semua kegiatan pelancongan telah terbantut akibat pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan yang diperlukan untuk membendung penularan wabak Covid-19. Nah, bagaimanakah UK Farm mengatasi kekangan ini untuk kedua-dua jenis operasinya iaitu pertanian dan pelancongan?

Di sinilah pentingnya peranan pemikiran cepat dan inovatif, serta digemblingkan dengan pematuhan dan pensijilan Garis Panduan Patuh dan Amal Covid-19 (GPPAC19), di mana pihak UK Farm telah melalui perundingan dan penilaian secara maya untuk menetapkan cara-cara terbaik yang perlu diamalkan oleh ladang sebegini, supaya selamat beroperasi dalam keadaan pandemik.

GPPAC19 ialah inisiatif dari Tourism Productivity Nexus (TPN) yang didukung oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk menolong para pengusaha terutamanya dalam bidang pelancongan di Malaysia agar lebih diyakini oleh pelawat serta juga pekerja semasa pandemik.

Antara langkah penanganan pandemik ini pertamanya – yang mungkin semua maklum namun perlu ditekankan – ialah mematuhi segala SOP (Standard Operating Procedures) termasuk memakai pelitup muka dengan sesuai, memastikan penjarakan fizikal setiap masa, membasmi kuman dengan sanitiser yang disediakan di semua stesyen kerja, mengimbas suhu badan dan memantau ciri-ciri kesihatan diri. Ini bukan sahaja untuk para pelawat tapi sama pentingnya untuk setiap pegawai dan pekerja syarikat.

Bagi para pekerja khususnya, samada warga asing mahupun tempatan, asrama semuanya disusun supaya tempat tinggal dilebihkan jarak sebanyak mungkin di antara katil pekerja, syif pula jadualkan di mana dapat untuk mengurangkan interaksi yang terlalu berkerumun, dan semua orang di dalam syarikat dikehendaki menjalani vaksinasi sebaik sahaja peluangnya didapati.

SOP bertulis lengkap disediakan untuk semua kategori pihak yang masuk-keluar ladang, dari pekerja, pembekal, pengangkut, pelawat mahupun ke penginap chalet (sewaktu PKP diangkat), dan peraturannya dipamerkan dengan jelas di premis, beserta tanda-tanda peringatan di tempat-tempat strategik.

Bagi para pelawat pula, selain SOP piawai yang wajib dipatuhi, UK Farm juga telah meluaskan ruang menunggu dengan kawasan tambahan supaya jika pengunjung yang datang agak ramai, mereka boleh duduk menunggu dengan penjarakan yang selamat, sebelum menunggu giliran menaiki bas mini ke titik-titik tarikan atau kegiatan.

Tidak dilupakan juga usaha disinfeksi atau pembersihan yakni pembasmian kuman dilakukan di sekeliling ladang sekurang-kurangnya lengkap sekali sehari, atau lebih di mana-mana bahagian yang didapati banyak pengunjungnya. Para jurupandu (guides) juga akan melihat dan menasihatkan penjarakan serta pemakaian pelitup yang sempurna. Pematuhan mengikut pensijilan GPPAC19 yang dipamerkan itu bukan saja penting, tapi memberikan kewibawaan kepada pegawai dan jurupandu UK Farm untuk meminta semua orang mematuhi amalan melawan Covid-19.

Sebagai sebuah ladang yang mengeluarkan bahan makanan, dan memerlukan penjagaan teliti bagi semua ribuan binatang ternakannya, penerusan operasi perniagaan itu sangat penting; pandemik tak pandemik. Oleh itu, selain pematuhan semua SOP, UK Farm juga harus inovatif dari segi mengembangkan penjualan produk di mana jualan langsung kepada para pelancong telah terbelenggu.

Ke arah itu, UK Farm telah menggiatkan penjualan ‘off-premises’ yakni selain penghantaran, juga dengan memperkasakan agen-agen produk seperti ‘agen susu kambing’ setempat dan seterusnya. Untuk menguatkan jualan itu, UK Farm tetap memastikan agar saluran-saluran media sosialnya semua aktif, selain lamanweb juga Facebook, Instagram dan sebagainya dengan kiriman-kiriman interaktif serta iklan yang menarik dan juga bersifat mendidik.

Terbaru ini di mana PKP mula diangkat, UK Farm juga telah menggubah pakej dengan harga terendah mungkin agar para pelancong mampu mengunjungi ladang mereka. Segala inisiatif yang telah diambil dengan jayanya oleh UK Farm itu amat mengagumkan. Terus, mana-mana pengusaha atau syarikat yang ingin mendapatkan pensijilan GPPAC19, sila layari wayup.my/gppac19 untuk maklumat lanjut.