Kedah Produktif bantu pendigitalan pentadbiran kerajaan negeri dan sektor swasta, BVAC diperluas


Berikutan penularan wabak Covid-19 sejak awal tahun 2020, beberapa industri amat terjejas. Justeru itu Kerajaan Negeri Kedah pada hari ini telah mengambil inisiatif melancarkan program Kedah Produktif dengan kerjasama MPC sebagai usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri Kedah ke peringkat tertinggi.

Kerjasama MPC dengan pihak kerajaan Kedah bukanlah baru, kerana kedua-dua mula bekerjasama rapat pada tahun 2019 lagi iaitu semasa pelaksanaan Good Regulatory Practice (GRP). Program tersebut ternyata memberi kesan positif kepada warga kerja Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk menjadi lebih kritis dan dinamik. Malah Kerjasama ini telah merangka program lanjutan selepas penanda-arasan dengan CIDB Kuala Lumpur dan Ekonomi Digital Georgia. Kedah Produktif juga selaras dengan usaha kerajaan negeri melalui Pelan Strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah 2019-2023.

Ucaptama dan majlis pelancaran hari ini telah disempurnakan melalui platform digital atau secara maya oleh YB Dato’ Paduka Ammar Bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

Turut memberikan ucapan pembukaan ialah Ketua Pengarah MPC, YBhg. Dato’ Abdul Latif Hj Abu Seman. Majlis ini juga disertai oleh Pengarah MPC Wilayah Utara Dr Mazrina Mohd Ibramsah, warga kerja Kerajaan Negeri Kedah, warga kerja MPC, badan swasta dan media.

Sementara itu, Dato’ Paduka Ammar Bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim berkata beliau berbangga kerajaan negeri dapat bekerjasama dengan MPC untuk melancarkan lagi pentadbiran negeri Kedah menggunakan teknologi digital.

“Usaha MPC adalah selaras dengan Pelan Strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah 2019-2023 dengan mendokong empat teras utama iaitu memperkukuh pembangunan ekonomi negeri Kedah, meningkatkan serta memperkukuhkan taraf sosial rakyat yang progresif dan kondusif, memantapkan perkhidmatan ICT negeri, perkukuh amalan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan yang berintegriti,” tambah beliau.

Dalam majlis tersebut, MPC turut melancarkan Khidmat Nasihat Perniagaan Secara Maya atau Business Virtual Advisory Clinic (BVAC). Khidmat tersebut bertujuan membantu syarikat-syarikat swasta menggunakan teknologi untuk mendapatkan nasihat, berbincang, mencari jalan penyelesaian, dan berjumpa secara dalam talian.

Ia melibatkan beberapa sesi iaitu, khidmat nasihat perniagaan, sesi ‘mentoring’ perniagaan, latihan secara dalam talian, serta mengkoordinasi perniagaan dengan objektif meningkatkan produktiviti perniagaan ke arah kecemerlangan dan kemampanan. 

Inisiatif MPC tersebut membuktikan, agensi itu bukan sahaja membantu pihak kerajaan malah turut prihatin terhadap badan-badan swasta, terutama yang terkesan dengan pandemik Covid 19. 

Kepada yang berminat dan perlukan khidmat nasihat bolehlah mendaftar di pautan http://www.kedah.gov.my/kedahbvac/ 

Sementara itu, Laporan Produktiviti Nasional 2020 yang diterbitkan pada 30 Jun mencatatkan pertumbuhan produktiviti pekerja sebanyak 2.1% kepada RM93,973 pada 2019 berbanding RM92,018 pada 2018. 

Pertumbuhan ini telah menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.3%. Manakala, di peringkat sektoral, sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan produktiviti pekerja tertinggi sebanyak 3.3% diikuti oleh perkhidmatan (2.9%), pembuatan (1.7%), dan pertanian (0.4%). Bagi sektor perlombongan, berlaku sedikit penurunan sebanyak 1.6%. Sementara itu, MPC meramalkan Negeri Kedah mencatatkan pertumbuhan produktiviti pekerja sebanyak 1.7% kepada RM50,135 daripada RM49,280 pada tahun 2018.