Ingin melancong ke luar negara? Tunggu, semak status cukai anda sebelum bertolak


Bila tiba musim cuti persekolahan dan bersambung pula dengan cuti-cuti yang lain pastinya ramai yang teruja untuk membawa keluarga masing-masing pergi bercuti. Bagi yang berkemampuan, inilah peluang yang ditunggu-tunggu untuk membawa keluarga masing-masing ke luar negara.

Sebelum melancong semak status percukaian anda dahulu.

Pelbagai perancangan telah dibuat untuk bergembira bersama keluarga, menikmati keindahan sambil mempelajari negeri orang. Tetapi, tahukah anda ada perkara penting yang perlu anda semak dahulu sebelum meneruskan hasrat untuk melancong?

Sebagai rakyat Malaysia yang perihatin dan bertanggungjawab, semak dulu status percukaian anda supaya tidak ditahan semasa di lapangan terbang atau di sempadan nanti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hasil, YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi ketika sesi libat urus bersama pempengaruh (influencer) media baru-baru ini, beliau sekali lagi ingin mengingatkan orang ramai yang berhasrat untuk melancong keluar negara agar menyemak status percukaian mereka terlebih dahulu.

Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Hasil, YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi

Tambah beliau untuk memudahkan orang ramai menyemak status percukaian dan jadual pembayaran, mereka boleh melayari laman sesawang www.mytax.hasil.gov.my di mana rujukan dan informasi disediakan di laman tersebut.

Dengan pemudahcara oleh LHDN itu, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia yang perihatin tampil untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai. Ketahuilah bahawa setiap cukai yang kita bayar menyumbang kepada kelancaran ekonomi negara dan memudahkan kehidupan masyarakat yang memerlukan serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Malah hasil dari cukai inilah yang digunakan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah negara dan juga digunakan bagi segala perbelanjaan kebangsaan.

Kerajaan memperuntukkan cukai yang dikutip agar dibelanjakan bagi tujuan keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah serta pembangunan ekonomi dan sosial seperti perkhidmatan pertahanan, kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat.

Tanggungjawab cukai kita amat bermakna kepada negara dan rakyat bersama.

Sekiranya ada pertanyaan lanjut dan memerlukan bantuan boleh hubungi LHDN di Talian HASiL RECOVERY CALL CENTRE @ HRCC – 03-8751 1000 / 03-8751 1100 (Antarabangsa).