GPPAC19: Program Persijilan Penting untuk Tarik Keyakinan Pelanggan


“Jika anda berpeluang untuk mengikuti program pensijilan ini, ambil! kerana program ini mampu menarik keyakinan pelanggan” nasihat Ahmad Syukri selaku pengasas Maverick Trainers and Consultants (MTC).

Ahmad Syukri merujuk kepada program Garis Panduan Patuh dan Amal COVID-19 (GPPAC19) yang dianjur dan dibangunkan oleh Tourism Productivity Nexus (TPN) dan disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). GPPAC19 adalah rujukan dan pengiktirafan kepada penggiat industri pelancongan sebagai panduan untuk meneruskan operasi mereka dengan yakin dalam norma baharu.

Maverick Trainers and Consultants (MTC) ditubuhkan pada Januari 2019. Menurut Syukri, konsep Maverick bermula sebagai hobi kini telah dijadikan sebagai kerjaya dan punca pendapatan. MTC punyai kepakaran dalam bidang latihan korporat yang menawarkan aktiviti indoor dan outdoor dalam bentuk team building exercise untuk mengeratkan hubungan kakitangan dan pihak pengurusan.

Bukan itu sahaja, malah program outdoor yang ditawarkan adalah aktiviti yang berkaitan dengan pelancongan kembaraan.

Kebanyakan kegiatan yang dianjurkan dari pihak MTC melibatkan team-building yang ‘touch body,’ atau aktiviti yang memerlukan bonding yang mengukuhkan semangat berpasukan.

Untuk menyesuaikan program yang ditawarkan dengan norma baharu, MTC telah mengolahkan beberapa aktiviti yang diselaraskan agar mengikuti SOP.

Program yang ditawarkan oleh MTC bukan sahaja terhad di Malaysia, malah Syukri berhasrat untuk menawarkan program-program mereka ke seluruh Asia!

GPPAC19 diperkenalkan kepada MTC di dalam komuniti Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) kerana MTC juga adalah penerima Program Pensijilan Perniagaan MaTEx. MaTEx adalah sebuah program untuk meningkatkan kualiti dan keyakinan pelanggan terhadap produk yang ditawarkan.

Syukri berkata, “MTC sedia maklum bahawa dalam keadaan PKP, ramai pelanggan akan mencari syarikat yang betul-betul patuhi SOP, tetapi kebanyakan syarikat tiada bukti punyai dokumen yang sah. “Jadi apabila TPN dan MPC menawarkan pensijilan ini, ia merupakan satu peluang yang bagus untuk pelanggan baru tahu yang MTC memang mengikuti program Garis Panduan Patuh dan Amal”.

Beliau turut berkata pensijilan tersebut memudahkan soal-jawab dengan pelanggan yang bertanya. Penambahan GPPAC19 yang mengikuti prinsip ‘safety first’ juga memberi keyakinan kepada MTC.

Sejak MTC mengumumkan yang ia adalah salah satu penerima GPPAC19 di media sosial, pensijilan tersebut telah menarik semula keyakinan pelanggan lama. Contohnya, semasa rentas negeri masih dibenarkan, pelanggan MTC sanggup mengembara dari Terengganu untuk sertai program yang dianjurkan di Janda Baik kerana mereka yakin dengan pensijilan GPPAC19.

Produktiviti MTC telah meningkat sejak pensijilan GPPAC19 dan ia telah memberi kesan positif kepada penggiat industri, terutamanya kecekapan dalam pengendalian SOP dari inisiatif-inisiatif baru yang telah diwujudkan.

Buat masa ini, Malaysia masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jadi sebarang aktiviti berkumpulan masih tidak digalakkan.

Sebagai alternatif, MTC telah menuju ke arah digitalisasi, dengan ‘virtual training’ bersama pelanggan. Ini adalah SOP baru yang diterapkan oleh MTC, “video sentiasa on dan pastikan internet stable” menjadi pendekatan maya yang juga membenarkan kegiatan latihan yang perlu dalam konteks norma baharu.