GPPAC19: Premis Majlis Perkahwinan Diiktirafkan


Villa Istana Melaka (VIM) adalah premis yang menawarkan pakej untuk majlis sosial terutamanya majlis perkahwinan berserta tempat penginapan yang terletak di Ayer Keroh, Melaka. Ia diasaskan pada tahun 2019, dan menawarkan pakej keseluruhan yang disebut ‘all-in’ iaitu daripada khidmat katering, pelamin, andaman, malah juga DJ.

Khairunnisa Aidilakbar, pengurus VIM berkata, “Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tahun lalu 2020, VIM pada mulanya hanya membuat servis penghantaran makanan seperti produk “Ready To Eat” seperti kerepek sebagai inisiatif untuk meneruskan hidup”.

“Tetapi semasa kerajaan mengumumkan bahawa perniagaan perkhidmatan seperti kami boleh beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kami terus bersedia mulakan operasi untuk majlis pekahwinan semula”.

“Tapi sebelum mula operasi, kami periksa dulu berita tersebut dengan pihak kementerian. Setelah itu, baru kami boleh teruskan operasi dengan mengikut SOP yang ditetapkan oleh pihak Kementerian. Malah mereka juga memberi kami panduan asas bagaimana beroperasi dalam norma baru.”

“Kini setelah beberapa bulan beroperasi dengan selamat menggunakan SOP yang diperlukan dan diwarwarkan, pengunjung sudah tahu bagaimana mereka harus mengawasi diri ketika sesuatu majlis dijalankan. Dari 150 tetamu kini kami telah menaikkan kapasiti kami kepada 700 ratus tetamu untuk sebuah majlis”.

VIM mendapat maklumat berkenaan program GPPAC19 dari komuniti Malaysia Tourism Excellence (MaTex) di Melaka yang selalu menawarkan pelbagai program dan inisiatif kepada penggiat industri.

Dalam waktu yang sukar ini, penggiat industri harus peka dan aktif untuk merebut peluang melalui program-program yang ditawarkan oleh pihak-pihak tertentu, kerana dengan menyertai program tersebut penggiat industri boleh menambah ilmu pengetahuan, buah fikiran dan kemahiran untuk terus kekal relevan berada dalam industri dan menambahbaik premis serta dewan acara dan juga pakej-pakej yang ditawarkan mengikut kehendak pelanggan dan kesesuaian bajet.

Beliau juga menyatakan bahawa dengan penyertaan VIM dalam program GPPAC19, ia secara langsung meningkatkan ilmu pengetahuan dan mempraktikkan panduan yang dikongsi oleh TPN dengan lebih baik dan teliti.

“Malah pihak TPN juga memberi pandangan tentang bagaimana operasi syarikat kami boleh diperbaiki lagi terutama dalam situasi sekarang.”

Khairunnisa juga menerangkan bahawa wakil dari TPN akan membuat panggilan video call untuk memahami dan menilai cara pengendalian SOP di premis kami lalu memberi nasihat.

Oleh itu, VIM mengambil peluang ini untuk menambahbaik pakej-pakej dengan memperkenalkan pelbagai perkhidmatan tambahan selain pengimbas atau scanner untuk pemeriksaan suhu, kod MySejahtera yang banyak agar tetamu tidak berkerumun, tempat-tempat sanitasi tangan sekeliling premis, penjarakan semua tempat duduk malah juga pelitup muka tambahan jika tali terputus.

Antara inisiatif lain yang VIM wujudkan ialah penyediaan senarai merangkumi pelbagai SOP asas yang dilekatkan di atas meja sebagai peringatan tambahan untuk tetamu yang hadir di majlis perkahwinan. DJ yang bertugas di majlis akan sentiasa mengingatkan tetamu melalui pembesar suara PA system supaya sentiasa mengikuti SOP yang ditetapkan oleh pihak penganjur sepanjang majlis berlangsung.

Di samping itu, pihak katering juga akan sentiasa memakai sarung tangan dan pelitup muka ketika penyediaan dan pelayanan makanan. Khairunnisa juga berkata tuan rumah ataupun hos akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak VIM untuk selalu mengingatkan tetamu agar sentiasa patuhi SOP.

Dengan pengendalian SOP yang teratur oleh VIM, ia mampu memberi impak positif kepada semua pelanggan dan secara langsung menambah keyakinan mereka untuk memilih VIM bagi majlis mereka. Khairunnisa berkata, “Bila kami paparkan gambar-gambar SOP kami seperti pelayan katering memakai sarung tangan, ramai orang yang mencari dan akan bertanya tentang pakej kami”.

Beliau berkata, “Panduan yang diberi oleh TPN memudahkan urusan kami dan memberi nilai tambahan serta meningkatkan produktiviti syarikat dengan kecekapan krew kami menjalankan tugas di setiap majlis yang dijalankan. Untuk itu, terima kasih TPN kerana memberi peluang kepada penggiat industri seperti kami”.

Untuk memohon penyertaan program persijilan Garis Panduan Patuh & Amal COVID-19, sila rujuk ke pautan berikut https://matex.my/index.html.