GPPAC19: Pensijilan Tingkatkan Jualan Voucher Fairys Holiday


Fairys Holiday boleh dianggap seperti fairy atau ‘pari-pari’ yang mempunyai misi untuk menggembirakan pelanggan dengan menawarkan pelancongan yang unik dan mampu.

Ditubuhkan pada 28 Oktober 2010, Fairys Holiday adalah sebuah syarikat pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Sebagai sebuah syarikat pelancongan yang dinamik serta menyediakan pelbagai pakej yang menarik, Fairys bukan sahaja memfokus kepada pelancong domestik, tetapi antarabangsa. Malah, mereka juga mempunyai lesen pelancongan outbound dan umrah.

Program Pensijilan Patuh dan Amal Covid-19 atau GPPAC19 adalah sebuah inisiatif Tourism Productivity Nexus (TPN) dan disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk membantu memulih sektor pelancongan di Malaysia.

Fairys Holiday menyertai program GPPAC19 dengan matlamat menambahkan nilai kepada syarikat dengan khidmat yang lebih baik kepada pelanggan.

Menurut Pengasas Fairys Holiday, Norhaslina Mohd Noor, “Salah-satu kriteria persijilan tersebut adalah virtual tour di premis syarikat selama tiga jam melalui video call. Pihak TPN telah memeriksa premis kami secara virtual untuk pastikan syarikat patuhi Standard Operating Procedure (SOP)”.

Beliau juga berkata sebelum pensijilan GPPAC19, mereka cuma bergantung kepada SOP yang telah diumum pleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Norhaslina menekankan bahawa pensijilan ini telah “menjadi kayu ukur sejauh mana kita mengikut panduan untuk menjadi travel agent selamat yang sebenar”.

Program Pensijilan GPPAC19 telah memberi impak positif kepada operasi Fairys Holiday.

Sebagai contoh, Norhaslina berkata sejak muat naik pensijilan ini di laman media sosial Fairys, secara tiba-tiba ramai pelanggan baru mengikuti mereka di Facebook, jadi ia memberi syarikat keterlihatan atau visibility kepada orang ramai.

Beliau juga menyatakan bahawa mereka mudah mendapat pelbagai kontrak berkomisen daripada pembekal atau supplier.

“Sebelum ini, kebanyakan hotel dan resort tidak mahu berkolaborasi dengan kami. Mereka akan minta pelbagai jenis dokumen untuk mengesahkan syarikat kami.”

“Tetapi apabila sijil GPPAC19 dikemukakan mereka mula memberi kerjasama.”

Bukan hotel dan resort sahaja, malah pelanggan juga lebih yakin dengan Fairys Holiday sebagai sebuah syarikat pelancongan yang sah dan patuh SOP.

Produktiviti Fairys juga meningkat sejak menerima pensijilan tersebut. Dengan pelanggan baru, Norhaslina berkata, voucher-voucher yang tertunggak juga dapat di jual. Pengurusan syarikat juga ditingkatkan dan telah menambah baik infrastruktur dalam syarikat.

“Sijil yang diterima sangat berharga! Kami terus di pandang tinggi oleh ramai pihak.”

Selain daripada GPPAC19, Fairys Holiday juga salah-sebuah penerima pensijilan Malaysia Tourism Excellence (MaTEX). MaTEx adalah sebuah program untuk memastikan penggiat industri menawarkan produk yang berkualiti kepada pelancong.