GPPAC19: Pendaki Gunung Turut Patuhi SOP Ketika Aktiviti Pendakian


Don’t Observe the Height atau ‘Jangan Endahkan Ketinggian’ adalah pemendekan nama DOTH47 Resources, sebuah syaikat penggiat industri aktiviti-aktiviti pendakian di seluruh Semenanjung Malaysia.

Berpangkalan di Johor, pengurus DOTH47, Dhereza Abdul Hamid berkata kegiatan ini bermula dari hobi dan kini telah dijadikan sebuah kerjaya malah mata pencarian utama. Buat masa ini syarikat meneruskan operasi di Johor sahaja memandangkan ‘rentas negeri’ masih tidak dibenarkan.

Program Garis Panduan Patuh dan Amal Covid-19 (GPPAC19) yang telah diperkenalkan melalui komuniti Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) merupakan sebuah program pensijilan jaminan produk yang ditawarkan berkualiti dan selamat.

Dengan penyertaan DOTH47 dalam program GPPAC19 yang merupakan program inisiatif Tourism Productivity Nexus (TPN) dan disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), ianya sedikit-sebanyak telah meningkatkan produktiviti DOTH47 terutamanya dari segi kecekapan pengendalian SOP dan ini juga menambahkan keyakinan pelanggan.

Dhereza turut berkongsi bahawa untuk mendapatkan pensijilan GPPAC19 ini bukanlah mudah kerana mereka perlu melalui pelbagai usaha mematuhi garis panduan untuk lulus pensijilan tersebut.

Beliau berkata, mereka harus memenuhi pelbagai tahap kriteria seperti kertas kerja, pembentangan (presentation) dan juga menyediakan panduan sebelum hingga selepas aktiviti-aktiviti pendakian.

Ia juga termasuk panduan Standard Operating Procedure (SOP) peserta dan juga SOP tugasan kakitangan sebelum, semasa dan selepas program termasuklah pengendalian peralatan pendakian yang perlu disanitasi.

Sebagai penggiat industri, DOTH47 sedar bahawa syarikat bertanggungjawab bagi keselamatan peserta aktiviti pendakian. Dhereza menegaskan bahawa semasa aktiviti pendakian berjalan, terdapat jurupandu terlatih yang akan mengawasi peserta agar sentiasa mematuhi SOP.

Malah, sebelum program bermula, syarikat akan mewujudkan sebuah kumpulan Whatsapp untuk memberi maklumat dan berkongsi peringatan mengenai SOP seperti sentiasa menjaga jarak fizikal sepanjang aktiviti pendakian.

Bukan itu sahaja, DOTH47 juga memberi peringatan untuk mematuhi penjarakan dan memakai pelitup muka terutamanya ketika sesi bergambar setibanya di puncak gunung.

“Kadang-kadang peserta terlalu teruja atau excited dan akan terlupa untuk menjaga SOP selepas aktiviti pendakian, jadi kami akan memastikan bahawa bergambar rapat-rapat tidak dibenarkan”.

Selain daripada menghadkan kapasiti kumpulan kepada lapan peserta termasuk jurupandu, penggiat industri tersebut turut berusaha untuk menyediakan barang seperti pelitup lebihan jika tali pelitup peserta terputus dan juga cecair sanitasi tangan. Kod QR MySejahtera juga pastinya disediakan untuk diimbas oleh peserta sebelum segala aktiviti bermula, malah juga di tempat-tempat ertentu jika perlu.

Dhereza sukacita menyatakan bahawa kini ramai peserta lebih suka mengikuti mereka untuk program pendakian sejak mendapat pengiktirafan GPPAC19. Peserta lebih yakin dan percaya dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh DOTH47, dan juga senang untuk meyakinkan peserta baru kerana ketelusan pensijilan tersebut.

Dhereza menegaskan semasa memberi pendapat berkait pensijilan GPPAC19, “GPPAC19 adalah satu kebaikan besar untuk penganjur atau operator seperti kami. Ianya membolehkan kami sentiasa aktif bergerak dengan yakin. Kalau tidak, ramai operator akan terjejas”.