GPPAC19: Muzium yang Unik Kini Mendapat Pensijilan SOP


Dengan nama ‘Collectibles Museum’, mungkin setengah orang tertanya, apakah perkara yang dipamerkan di muzium yang terletak di Kota Bharu, Kelantan ini? Jawabannya; bayangkan segala hal atau perkara permainan dan hobi, iaitu pelbagai jenis mainan atau toys dan bahan rekreasi yang boleh dikumpul yakni collectible. Ini termasuklah dari berjenis-jenis mainan kereta (toy cars) hingga ke patungan (figures dan dolls) ke hobi-hobi permainan, dan bermacam lagi. Dari itu, nama Melayunya ialah ‘Muzium Mainan’.

Mungkin kita ingat permainan begini hanya untuk kanak-kanak, tapi jangan terkejut, seringkali orang dewasa juga sangat meminati bahan-bahan ini dan ingin mengumpulnya. Terkadang diminati kerana ia mengingatkan tentang kercerian masa kecil mereka, terkadang pula kerana barang itu memang cantik dan senang hati dimiliki, malah ada juga yang mengumpul untuk pelaburan yang bertambah nilai dengan peredaran masa. Untuk segala itu, Muzium ‘Collectibles’ inilah tempat bagi peminatnya.

Asal muzium ini sebenarnya dari sebuah program yang dipanggil ‘Collectibles Affair’ yang kemudiannya diberi nama ‘Collectibles Museum’ oleh YBM Tengku Laksamana Kelantan dan YAM Tengku Puan Laksamana Kelantan, dan ia bertempat di Taman Koperatif Tanjung Chat, Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu.

Sebagai sebuah muzium, apalagi yang berkait permainan atau barang-barang yang harus dipegang untuk lebih dinikmati, ia amat memerlukan orangramai mengunjungi premis dan berinteraksi bersama permainan dan bahan mainannya. Maka pandemik Covid-19, dan lebih-lebih lagi Peraturan Kawalan Pergerakan atau lockdown sangat menjejaskan operasi dan pendapatan premis begini.

Namun pihak pengurusan Muzium Mainan tidak berputus asa. Pelbagai usaha dan aktiviti dicuba untuk meneruskan operasi dan memupuk publisiti, termasuk peraduan dan mini road tour apabila peraturan membenarkannya.

Dalam pada itu pihak Muzium mendapat tahu tentang program Garis Panduan Patuh dan Amal Covid-19 (GPPAC19) melalui pegawai MPC dalam kumpulan WhatsApp MaTEx, iaitu pensijilan Malaysia Tourism Excellence yang telahpun disertai dan dianugerahkan pada Muzium Mainan sebelum itu. Semua program ini dikendalikan oleh Tourism Productivity Nexus (TPN) dengan sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Maka pihak Muzium Mainan pun menyertai proses persediaan pensijilan dan mendapati GPPAC19 ini amat penting dalam sesebuah organisasi untuk mengetahui dan mengamalkan segala keperluan dan panduan menangani pandemik Covid-19. Terutama bagi premis seperti sebuah muzium mainan, di mana lazimnya banyak interaksi permainan dan sentuhan berlaku dengan bahan-bahan yang terkumpul.

Maka SOP yang ditekankan dan disesuaikan ialah untuk interaksi peribadi yakni fizikal. “Menyedari kepentingan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dari sentuhan, kami sentiasa meletakkan salah-seorang pegawai di pintu masuk, dan sebelum pelawat masuk ke Muzium kami, pegawai sendiri akan mengambil bacaan suhu badan dan memastikan imbasan MySejahtera mereka, malah menulis nama-nama pelawat kerana sering ibubapa membawa anak-anak yang patut dicatat juga. Seterusnya yang paling penting, semua pelawat hendaklah mencuci tangan iaitu menggunakan hand-sanitiser atau penyahkuman, serta wajib memakai pelitup atau mask sebelum masuk.”

Mungkin setengah orang berkata ‘itu semua prosedur biasa’ tapi yang khususnya ialah seorang pegawai sendiri akan berada di pintu masuk untuk memastikan segala SOP dipatuhi. Tidak semua premis mengamalkan atau mampu berbuat demikian.

Ini ternyata penting kerana pihak Muzium mendapati antara cabaran yang dihadapi ialah, “Segelintir orang yang tidak bertanggungjawab tidak menulis nama atau mengimbas kod MySejahtera, dan setengah pula terlupa atau tidak mencuci tangan sedangkan usaha nyahkuman atau sanitasi fizikal inilah antara yang amat penting bagi Muzium Mainan seperti kami”.

Oleh itu meletakkan pegawai di pintu merupakan satu di antara perkara pokok ekoran dari usaha penilaian prosedur dalam proses pensijilan GPPAC19.

Selain itu, sepanjang berada di dalam ruang pameran, pegawai lain akan memastikan semua pelawat sentiasa memakai pelitup dengan elok. Penyalur nyahkuman atau sanitiser dispenser diletakkan di titik-titik strategik di sekeliling Muzium dan pelawat digalakkan untuk mensanitasi tangan terutama jika menyentuh apa-apa perkara.

Dari segi pengurusan pula, penilaian yang dijalankan juga mendapati untuk meminimakan risiko penularan di mana boleh, “Pihak Muzium membenarkan 20% pekerja sahaja datang ke pejabat pada sesuatu masa dan 80% bekerja dari rumah”.

Bagi pekerja yang datang bertugas di Muzium pula semuanya tegas mengamalkan pemakaian peralatan pelindung untuk manjaga diri dari sebarang penularan wabak, termasuk memakai perisai muka atau face shield terutamanya bagi yang menjaga ruang pameran awam.

Selain itu juga, kesan lain ialah pekerja juga akan sentiasa memastikan keadaan di dalam seluruh Muzium terus disanitasi bersih dan selamat digunakan.

Ternyata proses penilaian untuk pensijilan GPPAC19 telah membuahkan banyak hasil yang memastikan prosedur yang praktikal dan selamat untuk operasi Muzium dengan ‘collectibles’ yang unik ini.

Juga ternyata bahawa segala SOP tersendiri yang disesuaikan dan dijalankan oleh Muzium Mainan ini membantu meningkatkan keyakinan para pelawat untuk mengunjung, dan inilah hasil terpenting untuk kesinambungan Muzium Mainan dan syarikat pengurusannya.

Akhir kata, pihak Muzium juga mendapati proses pensijilan GPPAC19 ini menjadikan syarikat pengurusan lebih cekap dari segi tenaga kerja dan penyesuaian operasi yang dijalankan di dalam syarikat. Dengan segala kelebihan dan keyakinan ekoran amalan dari GPPAC19 ini, pihak Muzium merasakan, “Sektor pelancongan, apalagi yang bersijil seperti kami, tidak seharusnya ditutup kerana ternyata pelbagai cara boleh diatasi dari segi pembelajaran dan amalan norma baharu untuk keselamatan operasi dan pelanggan industri ini”.

Bagi mana-mana pihak yang ingin mendapatkan pensijilan GPPAC19 sila layari matex.my untuk pendaftaran.