GPPAC19 Melestarikan Taman untuk Kehidupan Rama-rama, Serangga dan Reptilia


Anak mana yang tidak suka melawat dan melihat pelbagai jenis binatang dari yang kecil hingga yang besar? Itulah tarikan sebuah tempat seperti Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka (TRRM) yang terletak di Ayer Keroh, negeri Melaka. Beratus jenis atau spesis rama-rama, kupu-kupu, serangga dan juga berbagai reptilia bermastautin di Taman ini, dijaga dengan baik oleh pasukan kakitangan yang sangat setiabakti, yakni berdedikasi.

Maka apabila wabak Covid-19 melanda dunia dan negara, bukan saja TRRM tapi ramai kanak-kanak dan keluarga turut bersedih apabila semua tempat sepertinya terpaksa ditutup atau lawatan terbatas akibat perintah kawalan PKP yakni ‘lockdown’.

Namun TRRM tidak berputus asa dan telah mencuba beberapa langkah agar dapat mengatasi kekangan akibat pandemik dan sekatan berkait. Pertamanya ialah mematuhi dan menepati semua SOP (‘Standard Operating Procedures’) yang dikeluarkan oleh pihak berwajib selama masa pelawat dibenarkan mengunjung. Namun di masa PKP penuh dan tiada sesiapa dibenarkan ke mana-mana, lain-lain langkah harus difikirkan dan dilaksanakan.

Ini sangat penting kerana sebagai sebuah taman hidupan haiwan, dan banyak di antara haiwan ini sangat peka dan perlukan jagaan atau rawatan rapi, maka dana berterusan sangat perlu, malah menjadi soal hidup-mati bagi makhluk-makhluk bernyawa ini. Maka segala usaha harus dicuba.

Di sinilah TRRM juga telah mengambil kesempatan mendapatkan pensijilan Garis Panduan Patuh dan Amal Covid-19 (GPPAC19), di mana pihak TRRM telah melalui penilaian dan perundingan secara maya untuk melihat apakah cara-cara terbaik yang perlu diamalkan oleh entiti sebegini, agar selamat beroperasi semasa pandemik. GPPAC19 ialah inisiatif oleh Tourism Productivity Nexus (TPN) yang disokong oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) untuk membantu para pengusaha terutamanya dalam bidang pelancongan di Malaysia supaya lebih diyakini semasa pandemik.

Oleh itu, di dalam penilaian ini setiap perincian operasi yang berkait dengan lawatan dan kesihatan telah diteliti. Ini termasuklah segala poster, papantanda dan perbuatan termasuk untuk 3W yakni ‘Wear your mask, Wash your hands, Watch your distance’ atau dalam bahasa Melayunya “PBJ” yakni ‘Pakai Pelitup, Basuh tangan (atau juga Badan jika terlalu terdedah), dan Jaga Jarak. Ke arah penjarakan, bilangan pelawat maksimum yang dibenarkan pada sesuatu masa diturunkan ke hanya 300 orang pada sesuatu masa.

Malah TRRM menyediakan SOP bertulis lengkap untuk tiga kategori pihak yang masuk ke premis mereka iaitu bukan saja Pelawat, tapi juga untuk Pekerja dan tambah lagi untuk Pembekal, kerana setiap satu kumpulan melalui keadaan pergerakan yang mungkin berbeza. Contohnya pembekal yang termasuk perunding ataupun doktor haiwan perlu pergi ke kawasan yang tidak dilalui pelawat biasa, dan memerlukan SOP bersesuaian. Malah bagi mereka yang tidak mempunyai fon bimbit atau aplikasi MySejahtera, buku rakamannya juga berbeza untuk tiga kumpulan ini.

TRRM juga mengambil pendekatan menggalakkan pelawat membeli tiket secara tanpa-tunai atau tanpa-sentuh, “Kami cuba untuk meminimakan sentuhan samada barang atau permukaan yang boleh membawa kuman dan jangkitan. Malah kami juga menggalakkan pembelian di talian, dan lamanweb kami mempunyai berbagai tawaran yang menarik untuk para pelawat”; yakni penggunaan teknologi dioptimakan.

Pelan Tindakan Kecemasan juga disediakan dan semua pekerja harus tahu apakah langkah atau tindakan yang perlu segera dibuat jika terjadi kecemasan yang mungkin berkait Covid-19, contohnya pelawat yang tiba-tiba menunjukkan gejala seperti batuk berterusan, sesak nafas dan sebagainya.

Selain semua itu, sebagai tempat awam TRRM akan membuat pembasmian atau disinfeksi dua kali sehari di serata pelusuk premis, di mana dicatat juga siapa petugasnya dan waktu tepat ia dilakukan. Gambar atau video ringkas juga diambil sebagai bukti, dan kadangkala dinaikkan ke media sosial untuk memberi keyakinan kepada pelawat akan langkah yang diambil untuk memastikan mereka selamat.

Penilaian dan nasihat dari perundingan GPPAC19 ini begitu teliti hingga sampai juga kepada butiran yang kelihatan kecil tapi membantu. Contohnya semua tong sampah di premis dinasihatkan supaya mempunyai penutup supaya jika ada buangan yang mungkin ada virus Covid-19 seperti pelitup lama, sekurang-kurangnya ia tertutup di dalam tong, yakni tidak mudah terkeluar atau terdedah dan ditiup angin; apalagi dengan koronavirus varian Delta kini yang dikatakan lebih mudah terapung di udara.

Berbalik kepada langkah-langkah bantuan dan pendanaan di kala PKP penuh dan semua premis terpaksa ditutup. TRRM telah mengusahakan ikhtiareka yang unik untuk penglibatan orangramai iaitu Program Rama-rama Angkat atau ‘Butterfly Adoption Programme’ di mana di lamanweb butterflyreptile.com/, para pelawat boleh membeli pakej membiakkan rama-rama oleh penternak dan mereka boleh mengikuti perkembangan tumbesar rama-rama angkat mereka secara maya.

Tawaran tarikan terbaru TRRM ialah Lawatan Maya ke premis mereka yang diadakan tiga kali seminggu iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pada waktu tertentu, dengan harga hanya RM6.90 bagi seisi keluarga melihat di skrin peranti mereka dalam lawatan berpandu melalui kamera langsung dari TRRM.

Usaha dan inisiatif yang telah diambil dengan jayanya oleh pihak TRRM itu harus dipuji dan disokong. Bagi para pengusaha atau syarikat yang juga ingin mendapatkan pensijilan GPPAC19, sila layari matex.my untuk maklumat lanjut.