GPPAC19: Kumpul SOP Zipline dari Negara Luar untuk jadi Yang Terbaik


Menghiasi lagi mengamati alam semulajadi dengan peralatan lasak adalah matlamat utama Zainal Arsyed selaku pengarah Deco Alam Consult (DAC) untuk menggalakkan dan merancakkan lagi aktiviti pelancongan kembara di Malaysia.

Pengurusan utama DAC berfokus kepada aktiviti bina pasukan (team-building) dan pembangunan adventure park yang menawarkan aktiviti-aktiviti lasak atau pelancongan kembara.

Buat masa ini, DAC menguruskan tiga kawasan iaitu di Eagle Ziplining di Genting, Pahang dan dua adventure park di Johor dan Dungun, Terengganu. Sebagai aktiviti rancak dan fizikal, maka sangat sesuailah DAC mendapatkan pensijilan GPPAC19.

Garis Panduan Patuh dan Amal COVID19 (GPPAC19) diwujudkan sebagai panduan kepada penggiat industri untuk menangani pandemik kini. Program pensijilan ini adalah inisatif Tourism Productivity Nexus (TPN) dan disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Dengan menyertai program Pensijilan tersebut, ia meningkatkan keyakinan penggiat industri serta pelanggan. Tetapi ianya bukanlah pensjijilan yang mudah. Untuk menerima pengiktirafan, penggiat industri perlu mematuhi sekurang-kurangnya 90% daripada garis panduan atau kriteria ketat yang telah ditetapkan oleh pihak TPN.

Antara kriteria untuk mendapatkan pengiktirafan GPPAC19, penggiat industri perlu ada garis panduan khusus atau Standard Operating Procedure (SOP) yang unik bagi syarikat untuk melancarkan operasinya tersendiri.

Bagi DAC yang mempunyai fokus pada aerial adventure seperti ziplining, terdapat cabaran untuk menjalankan aktiviti tersebut kerana di Malaysia tiada SOP khusus untuk kategori pengembaraan ini.

Oleh itu, Zainal mengambil inisiatif untuk mencari dan mengumpul SOP yang sesuai dengan aktiviti tersebut. Sebagai permulaan, beliau merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) untuk panduan asas. Bukan itu sahaja, malah Zainal merujuk kepada SOP luar yang diiktiraf sebagai piawaian antarabangsa (international standard) sebagai SOP tambahan lagi menyeluruh.

“Saya juga merujuk SOP dari Amerika Syarikat, terutamanya di West Virginia yang ada SOP lebih teliti untuk aktiviti ziplining.”

“Malah saya juga mengkaji dasar-dasar pihak lembaga pelancongan (tourism board) di negara-negara lain seperti di Nepal kerana itu adalah salah-satu negara yang terkenal dengan pelancongan kembara.”

Selain itu, Zainal mengambil langkah tambahan untuk memenuhi keperluan SOP aerial adventure bagi mendapat pensijilan GPPAC19.

SOP tambahan yang telah dikaji dan dikumpul pula dibuatkan menjadi sebuah arahan (manual) untuk pekerja sebagai panduan operasi harian mereka.

Zainal turut menekankan bahawa beliau memastikan kesempatan untuk membuat latihan pekerja (staff training)bagi meningkatkan lagi kesedaran pengendalian SOP di waktu pandemik COVID19.

Latihan tersebut bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan produktiviti kakitangan dengan norma baharu terutamanya di dalam penggunaan teknologi dalam operasi harian syarikat mereka.

Kriteria pensijilan GPPAC19 dalam pengendalian teknologi adalah satu kriteria yang wajib dipenuhi. Ia untuk mengelakkan kontak rapat antara pekerja dan juga pelanggan.

Justeru itu, DAC telah membuat tawaran yang menarik sebagai solusi yang memenuhi kriteria GPPAC19 iaitu menawarkan potongan harga kepada pengunjung yang membeli tiket di laman web.

Beliau menyatakan, “Penggunaan online system pada mulanya terasa janggal, tetapi sejak pandemik ini ia telah menjadi salah-satu norma baharu”.

Sesi latihan yang dijalankan untuk kakitangan mengenai SOP tambahan dan teknologi memberi kesan yang positif kepada operasi DAC.

Selain itu, pengendalian peralatan juga sangat diambil berat. Peralatan tersebut digunakan orang ramai dan perlu penyenggaraan dan sanitasi, maka DAC telah menyusun semula jadual operasi mereka. Contohnya mereka beroperasi selama 2 jam dengan kapasiti dihadkan kepada 20 orang dan akan menutup bahagian premis selama satu jam untuk penggantian dan sanitasi peralatan. Setiap slot akan diberi set peralatan yang baru, jadi set peralatan yang telah diguna akan dialihkan untuk disanitasi.

GPPAC19 memang meningkatkan keyakinan pelanggan dan penggiat industri, malah pengiktirafan melalui pensijilan tersebut juga memberi motivasi kepada DAC untuk meneruskan perniagaan dengan teguh.

Zainal menasihatkan kepada penggiat industri, “We cannot direct the wind but we can adjust our sail” yang bermaksud bermaksud, ‘Kita tidak boleh mengawal pandemik tetapi kita boleh ubah cara aktiviti perniagaan kita mengikut norma baharu untuk kekal relevan dalam industri”.