GPPAC19: Kuantan River Cruise Turut Patuhi SOP Jabatan Laut


Walaupun banyak operasi perniagaan di Malaysia terpaksa ditutup sementara malah ada yang gulung tikar kerana pandemik COVID-19, namun ada beberapa penggiat industri yang dapat bertahan dan perniagaan mereka semakin berkembang maju. Mereka juga tidak lepas daripada bergelut dengan masalah kewangan dan kekurangan pelanggan namun dengan nekad dan semangat yang tidak pernah berputus asa, mereka teruskan juga.

Jika ditanya kepada penggiat indusri ini, rata-rata mereka juga mengeluh dan bergelut dengan suasana pandemik yang dialami ini. Namun bezanya usaha mereka giat diteruskan demi kelangsungan hidup.

Kuantan River Cruise (KRC) adalah salah satu daripada syarikat yang unik di mana mereka mempunyai aliran pelanggan yang stabil. KRC adalah penggiat industri yang berkembang dari pelayaran sungai yang sederhana ke pelayaran yang lebih menekankan ‘pengalaman’. KRC mengubah operasi pada tahun 2018 dengan menambahbaik dan memperkenalkan beberapa pakej yang unik untuk ditawarkan kepada  pengunjung.

Ketika negara dilanda pandemik, KRC memutuskan untuk mengubah halatuju perniagaan mereka dengan berfokus kepada pelancongan domestik dan menyediakan pengalaman unik yang terbaik kepada pelancong ketika mengikuti pakej yang ditawarkan. Ini menjadikan KRC terkenal malah syarikat mereka terpilih sebagai Tripadvisor’s Travellers’ Choice pada tahun 2020.

Pada masa ini, mereka menawarkan beberapa pakej menarik seperti Mangrove Park Tour dan River Night Tour di mana pelancong boleh ikut serta melihat kelip-kelip atau fireflies dan juga buaya, yakni wild crocodile watching!

Setelah perintah kawalan pergerakan dilonggarkan, perniagaan dibenarkan untuk beroperasi dengan penguatkuasaan operasi yang ketat. Penggiat industri perlu memastikan semua Standard Operating Procedure (SOP) dipatuhi.

Penyertaan Kuantan River Cruise dalam program Garis Panduan Patuh dan Amal COVID-19 (GPPAC19) terbukti berguna dalam menangani masalah ini.

Tourism Productivity Nexus (TPN) dengan sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah membangunkan GPPAC19 sebagai rujukan dan pengiktirafan kepada penggiat industri pelancongan untuk meneruskan operasi mereka dalam norma baharu.

Walaupun ia telah ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), langkah penggembelingan dengan penyertaan program ini memberi mereka idea lebih lanjut mengenai SOP yang perlu dipatuhi.

Dalam kes KRC kerana operasi mereka melibatkan bot, penggiat industri ini bukan sahaja mesti mematuhi SOP yang ditentukan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan  (MOTAC) tetapi juga perlu mematuhi SOP Jabatan Laut.

Nur Aiman, pengasas bersama Kuantan River Cruise berkata, “Kita kena cross-check yakni rujuk-rentas dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Laut seperti mematuhi penjarakan sosial ketika berada di jeti, mengurangkan kapasiti penumpang di dalam bot dan di tempat menunggu pelancong”.

“Pada mulanya, mudah terlupa tentang pematuhan SOP ini tetapi akhirnya, kami menjadi lebih cekap dengan operasi kami.” Menurut Nur Aiman, mereka tidak biasa dengan penguatkuasaan SOP yang ketat namun demi menjaga keselamatan di antara satu sama lain, mereka akur dan kakitangan KRC juga saling membantu untuk memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

Bukan itu sahaja, beliau berkata ada beberapa domino effect atau tempias baik yang terserlah ekoran penyertaan dalam program GPPAC19. Contohnya, penggiat lain juga mula mengikut langkah-langkah yang sama setelah melihat kejayaan KRC.

Sijil GPPAC19 yang diterima telah meningkatkan keyakinan pelanggan mereka dan juga pihak berkuasa tempatan untuk meneruskan operasi.

Sebagai contoh, pelancong berasa lebih selamat kerana KRC telah mengurangkan kapasiti penumpang bot kepada 12 orang sahaja. Ia untuk memastikan penjarakan sosial ketika berada di dalam bot malah ada di antara para pelancong itu dari kumpulan yang berlainan.

Selain itu, KRC juga mahu menjadi sebuah syarikat yang mengutamakan ‘eco-friendly’ yakni mesra alam. Nur Aiman berkata, “Sebelum ini kami menyediakan botol mineral kepada pelancong tetapi disebabkan banyak plastik digunakan dan ia bukan eco-friendly, kami telah berhenti dan menggalakkan pelancongmembawa botol reusable atau ulang-guna mereka sendiri. Kami sediakan pembahagi air di premis kami untuk memudahkan pengisian air.”

GPPAC19 bukan sahaja membina keyakinan pelancong tetapi ia juga telah membina keyakinan kepada penggiat industri. KRC turut mempromosi pakej-pakej baru kepada pelancong domestik kerana yakin syarikatnya mempunyai pengiktirafan pematuhan SOP.

Nur Aiman juga turut memberikan nasihat kepada para penggiat industri, “Fikirkan pelanggan dahulu. Pastikan kita memberi nilai agar mereka lebih menghargai perniagaan anda. Jangan pernah lupa untuk patuhi SOP.”