GPPAC19: Kendali Pelbagai SOP Unik Untuk Setiap Aktiviti Rekreasi


Sedim Rainforest Resort (SDR) adalah sebuah tempat penginapan yang menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi di sekitar kawasan alam rimba itu. Ia terletak di Kulim, Kedah, bersebelahan denai kanopi atau canopy walk hutan terpanjang di dunia iaitu Tree Top Walk Sungai Sedim.

Sebagai sebuah tempat penginapan dan juga tempat rekreasi, SDR menawarkan dua puluh bilik dengan pemandangan sungai. Aktiviti rekreasi yang ditawarkan termasuk pengembaraan lasak atau extreme seperti whiter-water rafting, paintball, all-terrain vehicle (ATV) dan juga jungle trekking. Sudah tentu, Tree Top Walk turut tersenarai di dalam aktiviti yang ditawarkan.

Sejak negara dan dunia dilanda pandemik COVID-19, aktiviti pelancongan dan rekreasi terbatas. Malah tempat penginapan juga ditutup kepada pelancong. Sejak pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, tiada sebarang penyertaan yang diterima dan ini telah menjejaskan operasi dan pendapatan SDR.

Menurut Jasman Jaafar, selaku pengasas SDR, beliau terpaksa memberhentikan beberapa orang pekerja kerana tidak mampu menampung kos operasi resort. Malah beliau juga membuat kerja luar seperti khidmat penghantaran (delivery service) untuk meneruskan kelangsungan hidup. Namun sejak kawalan PKP dilonggarkan barulah ada pemulihan operasi.

Berkenaan Program Garis Panduan Patuh dan Amal Covid-19 (GPPAC19) yang dibangunkan oleh Tourism Productivity Nexus (TPN) dan disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Jasman berpendapat program ini amat bagus dan sesuai dengan situasi yang menimpa penggiat indusri sekarang. SDR mengikuti program GPPAC19 dengan teliti kerana dengan Standard Operating Procedure (SOP) dan panduan yang diberikan, operasi syarikat dapat ditangani dengan mudah di dalam norma baru.

Setelah berjaya mendapat pengiktirafan GPPAC19, beliau memaparkan pensijilan tersebut di ruang lobi SDR supaya ia senang dilihat oleh pengunjung ke resort beliau. Pengiktirafan ini meningkatkan lagi keyakinan pengunjung pada SDR yang beroperasi mengikut SOP yang disahkan oleh badan kerajaan.

Pengurusan operasi resort menjadi lebih lancar dan kakitangan yang terlibat telah dilatih mengikut SOP yang betul sekaligus meningkatkan produktiviti SDR. Jasman menyatakan beliau membuat jadual rutin harian untuk diikuti oleh kakitangannya. Seperti operator yang lain, pada mulanya rutin SOP ini agak janggal diikuti tetapi lama-kelamaan rutin tersebut diterapkan sebagai sebahagian operasi harian.

Salah sebuah inisiatif yang dibuat oleh SDR adalah melekatkan kod MySejahtera di setiap pintu chalet atau bilik penginapan supaya ia lebih mudah untuk dilihat dan merekod setiap pengunjung yang menginap.

Jasman menjelaskan setiap aktiviti atau kawasan di resort tersebut akan ada pengendalian SOP yang unik.

Sebagai contoh, tempat penginapan akan disanitasi setiap pagi dan petang. Dari segi aktiviti pula, kapasiti kumpulan jungle trekking dihadkan kepada sepuluh orang sahaja dan ia akan dipecah lagi untuk membuat kumpulan yang lebih kecil. Kapasiti white-water rafting juga dihadkan kepada empat orang. Rutin begini dibuat untuk menggalakkan penjarakan fizikal ketika aktiviti dijalankan.

Jasman menambah, “Berurusan dengan kumpulan kecil ataupun keluarga kecil lebih mudah untuk menjaga SOP terutamanya penjarakan fizikal”.

Di persekitaran resort juga akan ada tanda pangkah, contohnya di kawasan berehat sebagai peringatan kepada pelawat untuk sentiasa patuhi SOP. 

Untuk kekal relevan di dalam industry, beliau lebih memfokus kepada online marketing di laman media sosial SDR dengan menggalakkan pelancongan domestik di negeri Kedah sementara rentas negeri tidak dibenarkan.

Untuk memohon penyertaan program persijilan Garis Panduan Patuh & Amal COVID-19, sila rujuk ke pautan berikut https://matex.my/index.html.