GPPAC19: Kapal Korek Di Tanjung Tualang, Tin Dredge NO. 5, Salah-Satu Tarikan Pelancong Yang Patuh SOP


Amanjaya TT5 adalah sebuah syarikat GLC di Batu Gajah yang memiliki tarikan pelancongan yang unik, iaitu kapal korek. Kapal korek lama ini merupakan yang terakhir di Malaysia.

Menurut sejarah, negeri Perak memang terkenal dengan kapal korek yang digunakan untuk melombong bijih timah, tetapi apabila kegiatan ini sudah berhenti, kapal-kapal korek itu telahpun dibuka dan dijual.

Namun begitu, kerajaan negeri sedar bahawa Perak tidak mempunyai sebarang bangunan atau mercu tanda yang melambangkan zaman penggunaan kapal korek tersebut. Pada tahun 2016, Amanjaya TT5 telah diberi mandat oleh kerajaan negeri Perak untuk menaiktaraf kapal korek tersebut untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong.

Proses membaikpulih kapal korek tersebut memakan masa setahun. Pada tahun 2017 ianya dibuka secara rasmi kepada pelancong. Para pelancong berpeluang untuk melawat dan mengenali sejarah kapal korek yang terakhir ini di Tanjong Tualang, Perak.

Untuk melawat kapal korek tersebut, pelancong dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan jurupandu (tour guide) yang disediakan. Ini untuk memastikan penyampaian penceritaan (storytelling) yang tepat berkenaan sejarah kapal korek kepada pengunjung. Sebagai langkah keselamatan, pengunjung diberikan topi hard hat untuk dipakai sepanjang lawatan.

Menurut pengurus Amanjaya TT5, Sharin Zainon, keputusan untuk mengetengahkan tarikan pelancong tersebut adalah untuk memberikan pengalaman baru kepada pengunjung agar mengetahui dengan lebih dekat sejarah kapal korek dan perlombongan bijih timah.

Beliau berkata,“Pada tahun 2019, kami bermula dengan fasa pertama iaitu pembinaan maze di sekeliling kapal korek tersebut. Konsep yang digunakan adalah dari pemerhatian kami ketika melawat ke Pulau Jeju, Korea Selatan”. Fasa pertama ini selesai dibina pada bulan Januari 2020, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan pertama diumumkan”.

Menurut Sharin, ketika pihak Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) mempelawa Amanjaya TT5 untuk turut serta dalam Pensijilan Garis Paduan Patuh Amal COVID19 (GPPAC19) beliau berasa teruja.

Beliau menjelaskan, “Sebelum pensijilan tersebut, penggiat industri tertanya-tanya apakah guideline yang harus mereka patuhi?

“Bila ada garis panduan (guideline) dan juga pensijilan, kami yakin dengan Tatacara Pengendalian Piawai atau Standard Operating Procedure (SOP) kami. Dengan adanya dukungan (endorsement) dari pihak kerajaan, pelancong akan tahu dan yakin bahawa kapal korek kami selamat untuk dikunjungi”.

Sharin berkata sijil yang diperolehi akan dipamerkan di kaunter bayaran sebagai penanda aras (benchmark) untuk pelanggan menilai pengendalian SOP di premis mereka.

Jadi apakah SOP unik yang dipatuhi Amanjaya TT5 untuk lawatan ke kapal korek?

Mereka mengurangkan kapasiti pengunjung dari 50 orang kepada 20 orang untuk mengelakkan kesesakan di bahagian dalaman agar penjarakan tidak terjejas. Penjarakan fizikal di premis sentiasa dipatuhi malah papan tanda SOP dan makluman (info board) juga dicetak dan dipamerkan dengan jelas untuk pengunjung. Ketika di dalam kapal korek ada beberapa bahagian dipangkah di atas lantai sebagai penunjuk untuk mengekalkan penjarakan fizikal.

Bukan itu sahaja, tempat-tempat persentuhan (touch point) di sekitar kapal korek disanitasi termasuk topi hard hat yang dipakai pengunjung akan juga disanitasiselepas setiap lawatan. Rutin tersebut telah diterap kepada pekerja dan menjadikan operasi mereka lebih cekap dan produktif.

GPPAC19 telah memberi impak yang positif kepada penggiat industri.

Ketelusan pensijilan tersebut yang disokong dari pihak kerajaan telah memberi keyakinan bukan sahaja kepada pelanggan, tetapi juga kepada penggiat industri.

Sharin menegaskan, “Pensijilan GPPAC19 menambahkan nilai pada apa yang kami tawarkan, ia meningkatkan piawai (standard) dan produktiviti penggiat industri.”