GPPAC19: Ace Altair Travels Dan “Fikiran Di Luar Kotak”


Tourism Productivity Nexus (TPN) dengan sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah membangunkan Garis Panduan Patuh dan Amal COVID-19 (GPPAC19) sebagai rujukan dan pengiktirafan kepada penggiat industri pelancongan untuk meneruskan operasi mereka dalam norma baharu.

Ace Altair Travels (AAT) adalah salah satu daripada syarikat yang menerima pensijilan GPPAC19. AAT adalah agensi pelancongan yang memfokuskan pasaran domestik dan antarabangsa.

Mereka juga memberikan perkhidmatan yang unik, iaitu accesible tourism (pelancongan berakses) yang memberi tumpuan perkhidmatan kepada pelancong orang kurang upaya (OKU).

Ia menjadikan AAT satu-satunya agensi pelancongan di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan seperti ini.

Sudah tentu, wabak COVID-19 yang melanda Malaysia dan dunia pada tahun 2020 telah menyebabkan perniagaan mereka “hampir sifar” kerana aktiviti pelancongan tidak dibenarkan.

Namun, semangat untuk meneruskan kesinambungan agensi pelancongan ini tetap hidup, malah mereka membentuk Asia-Pacific Network for Accessible Tourism (APNAT), untuk memberi fokus sepenuhnya dalam sektor accesible tourism.

Jadi apakah yang Ace Altair Travels telah lakukan untuk mendapat keyakinan pelanggan? Antara langkah utama ialah menyertai program GPPAC19 yang dianjurkan oleh TPN.

Antony Leopold, Pengarah Urusan Ace Altair Travels berkata, “Pada mulanya kami merasa bimbang untuk menyertai program ini, tetapi dengan sokongan daripada pihak TPN dan MPC, kami berjaya menepati kriteria untuk mendapatkan sijil Garis Panduan Patuh dan Amal Covid-19″.

Ace Altair Travels sentiasa mengamalkan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata selepas mereka mendapat pensijilan tersebut, mereka memastikan agar syarikat sentiasa mematuhi kriteria pertama iaitu Guidelines for Standard Operating Procedures (SOPs) for Travel Agency, contoh semua pekerja syarikat mempraktikkan jarak jauh di dalam pejabat dan memakai pelitup muka setiap masa.

Dengan menyertai program GPPAC19, mereka mengaitkan SOP dalaman sediada dengan SOP pelancong orang kurang upaya sebagai ‘refresher programme.

Program ini memberikan panduan yang lebih terperinci untuk beroperasi dengan lebih baik dan meningkatkan keyakinan pelancong.

Disebabkan keunikan perkhidmatan ini, mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah sangat penting.

Mereka menyediakan cecair pembasmi kuman, kod QR MySejahtera, dan setiap pelancong akan diambil suhu badan. Mereka juga memastikan setiap pelancong memakai pelitup muka.

Pensijilan GPPAC19 bukan sahaja meyakinkan para pelancong malah ia meningkatkan keyakinan terhadap Ace Altair Travels bermula dari pegawai pejabat hingga pemandu pelancong.

“GPPAC19 memberi kami pengiktirafan dan kepercayaan yang akhirnya kami dapat kongsi untuk memperolehi keyakinan pelanggan kami yang dihargai.”

“Perjalanan yang selamat dengan langkah keselamatan, kesihatan dan kebersihan yang dilakukan akan memberi pandangan positif kepada pelancong yang menggunakan perkhidmatan kami”, kata Antony.

Selain pensijilan GPPAC19, syarikat Ace Altair Travels merupakan penerima sijil Malaysia Tourism Excellence (MaTEx). MaTEx adalah program yang diwujudkan untuk meningkatkan kualiti dan keyakinan pelancong terhadap produk-produk pelancongan tempatan yang ditawarkan.