21 Oktober 2024, Kuala Lumpur – Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini menonjolkan komitmen Kerajaan dalam memperkukuhkan sektor pelancongan serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
Dalam persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan memperuntukkan RM550 juta bagi mempromosikan pelancongan, acara budaya, dan meningkatkan capaian penerbangan. Pelan ini turut menyokong ekonomi seni tempatan melalui promosi kraf tangan dan batik, yang dijangka mencipta peluang pekerjaan serta meningkatkan produktiviti di komuniti setempat.
Sebanyak RM110 juta disalurkan bagi menaiktaraf destinasi utama seperti Taman Negara Endau Rompin dan Pulau Redang. Kerjasama dengan UNDP dan Habitat Foundation dalam bidang eko-pelancongan, serta usaha pencalonan UNESCO bagi beberapa tapak budaya, adalah langkah penting Kerajaan dalam memacu pelancongan budaya di samping memastikan kelestarian negara.
Pengerusi Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN), Rohizam Md. Yusoff menyambut baik kedua-dua usaha Kerajaan ini memandangkan TPN dengan sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bekerjasama dengan UNDP dalam melaksanakan inisiatif memulihkan industri pelancongan melalui pendekatan yang menekankan kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar, di samping memastikan peningkatan produktiviti dalam sektor ini.
“TPN komited untuk bekerjasama dan menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan mempertingkatkan kualiti produk dan perkhidmatan serta mempamerkan identiti Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan bertaraf dunia”, tambahnya lagi.
Manakala, Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail yakin industri pelancongan negara bakal menikmati kesan limpahan yang ketara pada tahun hadapan, di mana Malaysia akan menganjurkan lebih daripada 270 mesyuarat sempena Kepengerusian ASEANMalaysia 2025, yang dijangka memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian sektor termasuk pelancongan, logistik, peruncitan dan F&B untuk meningkatkan produktiviti masing-masing.
“Kemasukan pelancong ke Malaysia bukan sahaja memberi pulangan kepada sektor pelancongan, malah impaknya lebih menyeluruh dengan memberikan pendapatan kepada peniaga sektor lain, menyediakan peluang pekerjaan yang menyeluruh kepada semua peringkat, dan menyampaikan agenda kemampanan kepada orang ramai, selari dengan hasrat Ekonomi MADANI”.
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
019-7181804/ nikhaneez@mpc.gov.my
atau
Emilly Christal Carol Tony
019-8619564 / Emilly@mpc.gov.my