BALAS DENDAM ATAU BAKAL MENERIMA ‘PEMBALASAN’?


Pada masa kini, kelonggaran demi kelonggaran telah diberikan oleh pihak kerajaan terhadap sekatan atau larangan yang telah dikuatkankuasakan bagi membendung penularan COVID-19. Antara yang ketara dari perspektif ini ialah perubahan fasa Pelan Pemulihan Negara melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mana sebelum ini ‘terkurung’ buat sekian lama. Namun demikian, ini tidak bermaksud kita sudah bebas sepenuhnya. Kelonggaran yang diberikan bukanlah bertujuan untuk membolehkan kita melakukan sesuatu sewenang-wenangnya, tetapi lebih kepada menghadirkan sedikit ruang dan peluang untuk kita kembali ‘bernafas’.

Menyentuh tentang situasi kunjungan secara beramai-ramai yang telah berlaku di Sungai Pisang yang telah berlaku di Sungai Pisang yang lalu, keadaan tersebut seharusnya tidak berlaku sama sekali. Ini antara lainnya membuktikan bahawa tahap kesedaran masyarakat akan bahaya dan ancaman COVID-19 masih berada di tahap yang rendah. Situasi tersebut juga membawa kepada konklusi bahawa masih ada di kalangan komuniti penggiat yang alpa atau tidak menghiraukan intipati perjuangan menentang pandemik yang masih jauh untuk menemui pengakhirannya.

Dalam usaha untuk menghadirkan sedikit kesedaran berkaitan isu ini, tumpuan juga boleh dikaitkan dengan trend pelancongan yang tular pada penghujung tahun lepas. Trend ini dikenali sebagai REVENGE TRAVEL dan dipercayai dipelopori di negara India. Ringkasnya, konsep REVENGE TRAVEL ini merujuk kepada kegiatan pelancongan secara besar-besaran ke sesebuah destinasi (termasuklah lawatan ke destinasi-destinasi tertentu untuk melakukan pelbagai aktiviti rekreasi luar) yang dimotivasikan oleh kehendak mendalam untuk merasai kebebasan bergerak, setelah sekian lama terhalang akibat larangan pergerakkan ataupun ‘lockdown’. Konsep ini berbeza dengan TRAVEL BUBBLE yang mana melibatkan penekanan jitu terhadap pematuhan SOP (termasuklah melakukan ‘screening’ terhadap pelawat/pelancong yang bakal melakukan perjalanan) dan hanya membenarkan aktiviti pelancongan berlaku di sesebuah atau beberapa lokasi spesifik sahaja. REVENGE TRAVEL yang dimaksudkan ini melibatkan siri lawatan yang lebih meluas ke seluruh destinasi atau premis-premis pelancongan tanpa wujudnya sekatan-sekatan tertentu.

Dari sudut sosial, REVENGE TRAVEL boleh dilabelkan sebagai sesuatu yang positif kerana ianya menghadirkan peluang untuk masyarakat kembali merasai nikmat berkunjung ke sesebuah lokasi. Situasi yang sama juga boleh dieksploitasikan oleh pihak operator atau penyedia perkhidmatan pelancongan untuk kembali merancakkan sektor pelancongan. Namun demikian, kealpaan masyarakat serta kekurangan kuatkuasa ketat terhadap pematuhan SOP berkaitan telah menyemarakkan lagi penularan wabak sehinggakan wujudnya ‘gelombang’ serta varians baharu di India pada 2021.

Fenomena sebagaimana yang telah berlaku di India ini sepatutnya dijadikan pengajaran buat kita semua, termasuklah keseluruhan penggiat aktiviti rekreasi luar mahupun segala jenis pelancongan berasaskan alam semulajadi. Kita seharusnya bijak untuk mengasingkan diri dari kawasan-kawasan yang sesak atau berpotensi menjadi sangat sesak terutamanya di hujung minggu. Apatah lagi melakukan lawatan ke kawasan yang sememangnya dilarang untuk dikunjungi! Walaupun kelonggaran telah diberikan kepada komuniti penggiat yang telah lengkap sepenuhnya 2 dos vaksin, ketiadaan pengawalan khusus di sesebuah lokasi untuk memeriksa dan mengesahkan status pengunjung berupaya menjadi antara penyebab utama kepada penularan wabak di lokasi tersebut. Apa yang lebih menyedihkan ialah dengan kehadiran ahli masyarakat yang masih belum sempurna vaksinasi dan kondisi penyebaran wabak oleh individu-individu yang tidak bergejala, secara tidak langsung mampu mengakibatkan kewujudan kluster baharu di kalangan penggiat. Tambahan lagi, tindakan mengunjungi kawasan yang dilarang untuk dikunjungi juga bakal mendedahkan kita dengan tindakan undang-undang berkaitan, khususnya Akta Perhutanan 1984.

Sebagai alternatifnya, buat masa sekarang ini mungkin kunjungan boleh dilakukan ke kawasan-kawasan yang sememangnya telah dibuka secara sah. Ini termasuklah kawasan-kawasan milik persendirian yang dibuka sebagai pusat rekreasi mahupun tapak perkhemahan. Malah, dari segi penguatkuasaan SOP, pemilik kawasan tersebutlah yang bertanggungjawab memastikan tidak berlaku pelanggaran. Kunjungan ke lokasi-lokasi begini dilihat lebih baik dan terkawal berbanding berada di sebuah kawasan pengumpulan penggiat tanpa wujud bentuk kawalan sewajarnya.

Perancangan rapi untuk melakukan sesebuah lawatan juga mampu berpotensi wujud sebagai salah satu langkah pencegahan. Sebaiknya kita membuat sedikit ‘kajian’ dengan mendapatkan maklumat terlebih dahulu dan mengenalpasti kawasan-kawasan yang dijangka sesak. Dari konteks ini, kita boleh mewujudkan pelbagai pilihan – pilihan A, B, C dan sebagainya sebagai ‘back up plan’ sekiranya lokasi utama yang ingin dikunjungi berpotensi menjadi sangat sesak pada tarikh yang ingin kita pergi.

Dari sudut lain, mungkin situasi ini juga boleh dilihat sebagai ‘a blessing in disguise’ di mana inilah ruang dan peluang bagi kita untuk mencuba aktiviti baharu. Selain daripada berkelah di kawasan hutan, kita juga boleh membuat pilihan untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain di pelbagai lokasi yang dibenarkan (dan patuh SOP) seperti rock climbing, ATV, paragliding, berbasikal dan lain-lain. Penglibatan kita dalam mencuba pelbagai aktiviti lain ini juga mampu untuk memberikan pengalaman serta paradigma baharu berkaitan minat dan pengetahuan kita terhadap diversiti aktiviti-aktiviti lasak, berbanding hanya tertumpu kepada 1 aktiviti sahaja.