RAMS merupakan satu dokumen bercetak yang boleh diterima pakai bukan sahaja di mahkamah (sekiranya wujud kes-kes perbicaraan berkaitan penganjuran aktiviti) tetapi boleh juga dijadikan salah satu bukti sokongan yang menunjukkan kita mematuhi tuntutan ISO 21101:2014 (ISO khas untuk pelancongan kembaraan atau adventure tourism). RAMS juga dikenalpasti sebagai salah satu komponen mandatori di dalam penganjuran aktiviti-aktiviti lasak berdasarkan National Occupational Skills Standard (NOSS), Kementerian Sumber Manusia untuk bidang pekerjaan Land Based Adventure Tour Guiding dan Water Based Adventure Tour Guiding. RAMS juga turut dimuatkan di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Aktiviti Lasak melibatkan pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Selain itu, RAMS telah dijadikan salah satu keperluan utama dan mandatori kepada mana-mana operator pelancongan kembaraan yang memohon Persijilan MaTEX (Malaysia Tourism Excellence Business Certification) dari Perbadanan Produktiviti Malaysia, khususnya bagi kategori Adventure Tourism Operator. RAMS juga telah diterapkan dalam kurikulum latihan kursus-kursus rekreasi luar kebangsaan (OUTREC I hingga III) oleh Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia dan Kementerian Belia & Sukan Malaysia. RAMS juga adalah salah satu dokumen yang dikehendaki oleh potential clients (terutamanya international clients/tourists termasuklah penuntut-penuntut international schools) yang mana boleh dijadikan bukti terhadap kesungguhan dan kesiapsiagaan sesebuah operator dalam memberi ‘jaminan’ terhadap langkah-langkah pencegahan kemalangan di dalam setiap aktiviti yang bakal dilaksanakan.
APA ITU ‘RAMS’?
RAMS adalah singkatan kepada RISK ANALYSIS AND MANAGEMENT SYSTEM. RAMS wujud dalam bentuk helaian dokumen atau sheet yang mana perlu dilengkapkan oleh seseorang penganjur program ataupun operator aktiviti sebelum sesuatu program/aktiviti tersebut dilaksanakan. RAMS secara umumnya mengenalpasti kesemua kemalangan, kecederaan ataupun sebarang bentuk kemudaratan yang berkemungkinan wujud, faktor-faktor penyebab, strategi pencegahan serta penetapan tindakan-tindakan kecemasan yang bersesuaian. Output akhirnya adalah berbentuk satu dokumen lengkap, yang mana memuatkan perincian perancangan pengurusan risiko secara bertulis/bercetak serta merangkumi elemen-elemen yang dinyatakan di atas.
APAKAH YANG PERLU DILENGKAPKAN DI DALAM ‘RAMS’?
Secara khususnya, RAMS mempunyai formatnya tersendiri dan telah pun menyediakan beberapa ruangan khas berdasarkan klasifikasi-klasifikasi tertentu untuk dilengkapkan oleh penganjur program/operator aktiviti.
Dalam ruangan RISK ANALYSIS, perkara yang perlu diisi/dikenalpasti ialah KESEMUA kondisi buruk/bahaya, insiden, kemalangan atau kemudaratan yang boleh terjadi dalam pelaksanaan sesuatu aktiviti yang bakal kita anjurkan tersebut (baik yang kritikal mahupun kurang kritikal serta yang melibatkan fizikal mahupun yang tidak melibatkan fizikal). Dengan kata lain, kita perlu memberi jawapan kepada soalan ini – ”what are the risks that could potentially occur due to the implementation of this activity?” atau Apakah risiko-risiko yang berpontensi wujud hasil daripada pelaksanaan aktiviti ini?”. Di samping itu, adalah menjadi satu amalan yang baik juga sekiranya kita dapat menentukan tahap kekerapan (frequency) serta tahap keparahan (severity) berkaitan setiap kondisi buruk/bahaya, insiden, kemalangan atau kemudaratan yang telah kita kenalpasti tersebut.
Dalam ruangan CAUSAL FACTORS, lengkapkan ruangan tersebut dengan mengenalpasti KESEMUA faktor yang berupaya menyebabkan sesuatu kondisi buruk/bahaya, insiden, kemalangan atau kemudaratan itu berlaku berdasarkan 3 kategori utama iaitu PEOPLE (peserta, staf penganjuran dan masyarakat sekeliling), EQUIPMENT (peralatan individu mahupun kumpulan yang digunakan) dan ENVIRONMENT (elemen-elemen ekologi, geografi setempat serta masalah-masalah kesihatan/keselamatan yang berkaitan dengan sesebuah persekitaran atau lokasi penganjuran aktiviti tersebut).
Dalam ruangan RISK MANAGEMENT STRATEGIES – NORMAL OPERATION, kenalpasti strategi untuk mengatasi kesemua faktor penyebab yang telah kita isi atau lengkapkan di ruangan CAUSAL FACTORS. Dengan kata lain, dapatkan jawapan-jawapan bagi soalan ini – “What can I practically and possibly do to prevent the identified dangerous conditions, incidents, accidents or harms from happening?” atau Apakah tindakan-tindakan praktikal dan yang boleh dilaksanakan untuk menghalang kesemua kondisi buruk/bahaya, insiden, kemalangan atau kemudaratan yang telah dikenalpasti tersebut dari berlaku?. Sebagaimana di ruangan CAUSAL FACTORS, kita juga perlu spesifikasikan input kita berdasarkan 3 kategori utama iaitu PEOPLE, EQUIPMENT dan ENVIRONMENT. Di ruangan ini, pertimbangan juga perlu diberikan terhadap strategi pengurusan risiko yang bersesuaian berdasarkan Four Window Matrix iaitu Kekalkan (Retain), Kurangkan (Reduce), Elakkan (Avoid) dan Pindahkan (Transfer).
Dalam ruangan RISK MANAGEMENT STRATEGIES – EMERGENCY, tentukan KESEMUA tindakan yang sepatutnya dilakukan sekiranya kondisi buruk/bahaya, insiden, kemalangan atau kemudaratan yang telah dikenalpasti tersebut berlaku juga. Dengan kata lain, sediakan jawapan-jawapan khusus bagi soalan ini – “What can I put in place so that I could deal with an emergency effectively?” atau Apakah yang perlu diusahakan/dilakukan bagi membolehkan saya menangani sesuatu kecemasan secara efektif?.
Dalam ruangan RELEVANT INDUSTRY STANDARD APPLICABLE dan POLICY AND GUIDELINES RECOMMENDED, nyatakan secara jelas apa sahaja Prosedur Operasi Standard (SOP), garis panduan atau rekomendasi professional yang kita gunakan/jadikan sebagai panduan dan rujukan untuk melaksanakan aktiviti dengan selamat (dari mana-mana organisasi, badan-badan professional mahupun pihak-pihak berkepentingan yang mempunyai kaitan dengan aktiviti yang bakal kita anjurkan). Di sini, RAMS secara khususnya menitikberatkan atau memerlukan kita menjadi lebih sistematik dengan menekankan suatu proses tindakan yang didasarkan kepada panduan sedia ada yang diiktiraf dan bukannya dibuat secara logik akal ataupun ‘memandai-mandai’. Perlu juga dipastikan bahawa kita sepatutnya mematuhi setiap Prosedur Operasi Standard (SOP), garis panduan atau rekomendasi professional yang telah kita nyatakan secara betul/jujur dan bukannya sekadar menyatakan atau memuatkannya sahaja di dalam RAMS.
Dalam ruangan SKILLS REQUIRED BY STAFF, kenalpasti secara spesifik segala kemahiran yang diperlukan oleh staf penganjuran untuk melaksanakan program dengan lancar, kemahiran tertentu bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya situasi bahaya, serta kemahiran yang diperlukan bagi menangani situasi kecemasan secara efisien (baik dari sudut fizikal mahupun psikologikal).
Akhir sekali, dalam ruangan FINAL DECISION ON IMPLEMENTING ACTIVITY, isikan nama individu yang bertanggungjawab melengkapkan RAMS tersebut. Kemudiannya, serahkan kepada seseorang yang lebih ‘superior’ (seperti senior instructor, pengurus, pegawai atasan atau individu-individu yang berkelayakan) untuk tujuan review, verifikasi dan mengesahkan setiap maklumat yang dimasukkan ke dalam RAMS. Seseorang yang lebih ‘superior’ tersebut seterusnya bakal menentukan samaada aktiviti tersebut boleh dilaksanakan atau sebaliknya (berdasarkan ketepatan dan kesahihan maklumat yang telah dilengkapkan di dalam RAMS) dan memberikan komen-komen yang bersesuaian bagi tujuan penegasan, pembetulan atau penambahbaikan. Simboliknya, perancangan pengurusan risiko berdasarkan RAMS ini bukanlah bersifat ‘one-man show’ tetapi setiap keputusan yang terlibat dilakukan secara kolektif dan dinilai kewajarannya.
Di samping itu juga, RAMS ini bukanlah secara keseluruhannya bersifat activity-specific tetapi lebih menjurus kepada site-specific. Ini kerana sesuatu aktiviti itu bakal mengandungi risiko-risiko serta kaedah pengurusan risiko yang berlainan sekiranya dilaksanakan di kawasan-kawasan yang berbeza. Contohnya, mendaki Gunung Tahan (Merapoh-Kuala Tahan) yang mengambil masa seminggu adalah lebih tinggi risikonya dari mendaki Gunung Jerai yang boleh dilakukan secara day-trip walaupun keduanya adalah aktiviti yang sama konsepnya (mendaki gunung). Begitu juga dengan aktiviti lain seperti berkayak atau berakit arus deras. Risikonya adalah berbeza sekiranya kita berkayak atau berakit arus deras di Sungai Kiulu yang lebih rendah grednya berbanding Sungai Padas. Dalam masa yang sama, strategi pengurusan risiko juga adalah berbeza berdasarkan keterpencilan (remoteness) sesebuah lokasi tersebut serta faktor kemudahsampaian (accessibility) bagi tujuan bantuan kecemasan atau emergency evacuation. Oleh yang demikian, RAMS perlu dihasilkan secara berasingan berdasarkan lokasi serta faktor-faktor lain yang mempunyai hubungan dengan sesebuah lokasi tersebut dan bukannya hanya menghasilkan 1 dokumen umum sahaja berkaitan sesuatu aktiviti untuk direplikasikan di mana-mana kawasan penganjuran aktiviti.
KENAPA PENTINGNYA ‘RAMS’ INI?
Dari sudut penganjuran aktiviti, ianya digunakan sebagai panduan utama dalam aspek pengurusan risiko terhadap aktiviti yang bakal dijalankan dan ketika aktiviti sedang berlangsung. Sekiranya RAMS dilengkapkan dengan betul dan terperinci, kecenderungan (tendency) untuk mengalami sesuatu situasi buruk atau kemalangan itu adalah sangat kecil kerana kita sudah pun ‘bersedia’ dari segenap sudut kecuali kemalangan-kemalangan yang disebabkan oleh ACT OF GOD (terma khas mahkamah bagi kejadian-kejadian luar jangka yang terjadi secara tiba-tiba walaupun segala perancangan dan persiapan pengurusan risiko telah dilakukan dengan betul dan teliti).
RAMS boleh dijadikan salah satu bukti di mahkamah yang menunjukan bahawa pihak penganjur sememangnya komited terhadap aspek-aspek pengurusan risiko dalam aktiviti yang dianjurkan. Ianya juga mampu bertindak sebagai salah satu kaedah untuk mempertahankan diri (defend) dalam sesebuah perbicaraan sekiranya berdepan dengan tindakan saman dari peserta (sekiranya ada).
Dari sudut penglibatan pula, sekiranya para peserta berhasrat untuk melibatkan diri dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh mana-mana penganjur/operator, bolehlah bertanyakan kepada penganjur/operator tentang RAMS ini. Sekiranya penganjur/operator tersebut mengatakan bahawa mereka memiliki dokumen ini (dan telah dilengkapkan dengan sempurna), maka tidak perlu khuatir kerana penganjur/operator tersebut sememangnya menitikberatkan aspek keselamatan secara professional dalam penganjuran aktiviti mereka. Sekiranya berasa was-was, boleh minta (request) penganjur/operator tersebut tunjukkan dokumen RAMS yang telah mereka hasilkan. Walaupun RAMS ini bukanlah dibuat/diwujudkan untuk tujuan dibaca atau diperiksa oleh bakal peserta, namun mana-mana penganjur/operator yang jujur dan prihatin, tidak mempunyai masalah untuk mengemukakan/menunjukkan (reveal) dokumen RAMS mereka bagi menghadirkan lebih keyakinan dan kepercayaan (trust) kepada bakal peserta program mereka.