Ancaman Strok Haba dalam Aktiviti Rekreasi Luar: Memahami Risiko Gelombang Haba dan Langkah Keselamatan Bersama 


Sejak kebelakangan ini, negara kita sedang berhadapan dengan fenomena cuaca panas yang agak luar biasa, khususnya di kawasan utara Semenanjung Malaysia. Peningkatan suhu yang mendadak ini telah menimbulkan kebimbangan umum, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya bagi penggiat aktiviti rekreasi luar mahupun pelancongan berasaskan alam semulajadi.

Persoalan utama yang sering dibangkitkan adalah: Adakah selamat untuk kita meneruskan aktiviti fizikal di luar bangunan seperti hiking, mendaki, berbasikal dan lain-lain dalam keadaan cuaca panas yang melampau ini?

Secara umumnya, pihak berkuasa kesihatan menasihatkan masyarakat untuk sentiasa berada di kawasan yang teduh, memanfaatkan ruang berhawa dingin, dan meminimumkan aktiviti fizikal di luar bangunan. Dalam erti kata lain, sebarang penganjuran aktiviti atau riadah pada tempoh ini lebih ideal dilaksanakan atau disarankan corak penglibatan secara tertutup (indoor).

Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa akanwujud juga kelompok penggiat rekreasi mahupun pelancongan berasaskan alam semulajadi yang komited dan masih memilih untuk meneruskan aktiviti outdoor mereka. Keputusan ini pada dasarnya bukanlah satu kesalahan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan aktiviti tersebut menuntut tahap kebijaksanaan perancangan dan pertimbangan pengurusan risiko yang sangat tinggi. Ringkasnya, aktiviti luar masih boleh dilakukan, tetapi iaperlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati (proceed with caution!). Kegagalan mengambil langkah berjaga-jaga dan menguruskan pendedahan tubuh kepada suhu persekitaran yang tinggi boleh mendedahkan penggiatkepada bahaya yang jauh lebih serius, iaitu Strok Haba(satu situasi kecemasan yang berpotensi membawa kepada risiko kerosakkan otak, ataupun maut jika tidak dirawat dengan segera).

Strok Haba bukanlah sekadar rasa letih atau dahaga yang biasa dialami ketika bersenam. Ia adalah satu keadaan kecemasan yang berlaku apabila sistem penyejukan semula jadi badan kita gagal berfungsi akibat pendedahan kepada cuaca panas yang melampau. Situasi kecemasan ini akan menjadi lebih ekstrem khususnya apabila digabungkan dengan aktiviti fizikal yang berat.

Dalam keadaan normal, badan kita menyejukkan diri melalui proses berpeluh. Namun, apabila berlakunya Strok Haba, badan akan hilang keupayaan ini. Akibatnya, haba terperangkap di dalam tubuh dan suhu badan akanmeningkat secara mendadak, iaitu mencecah atau melebihi 40°C (104°F). Pada tahap suhu yang sangat tinggi ini, sel-sel dan organ dalaman badan seperti otak dan jantung berpotensi mengalami kerosakan yang serius dengan pantas.

Pengesanan awal adalah langkah paling penting dalam menyelamatkan nyawa. Tubuh manusia akan memberikan isyarat tertentu apabila ia tidak lagi mampu menahan tekanan haba. Penggiat aktiviti luar mesti peka terhadap enam tanda utama berikut dan rawatan atau perhatian perubatan perlu diberikan dengan serta-merta sekiranya ia berlaku:

1.Perubahan Status Mental dan Tingkah Laku

Mangsa mungkin tiba-tiba kelihatan keliru, sukar memberikan tumpuan, merapu, atau menunjukkan perubahan emosi yang drastik seperti mudah marah dan mengamuk tanpa sebab yang munasabah.

2. Sakit Kepala yang Teruk dan Berpanjangan

Ini bukan sakit kepala biasa. Mangsa akan merasai denyutan yang amat kuat di bahagian kepala, yang selalunya disusuli dengan rasa pening dan seolah-olah persekitaran sedang berpusing.

3. Gangguan pada Sistem Pencernaan

Suhu tubuh yang terlalu tinggi akan menjejaskan sistem pencernaan, menyebabkan mangsa berasa sangat loya atau mula muntah-muntah.

4. Perubahan Ketara pada Keadaan Kulit

Kulit mangsa akan berubah menjadi kemerahan, terasa sangat panas apabila disentuh, dan kering (akibat kelenjar peluh gagal berfungsi dengan sempurna). Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes yang melibatkan senaman berat, mangsa mungkin mengalami exertional heat stroke di mana kulit mungkin masih berpeluh dengan banyak tetapi suhu badan sangat tinggi.

5. Kadar Jantung dan Pernafasan yang Luar Biasa

‘Enjin’ badan terpaksa bekerja lebih keras untuk menyejukkan tubuh. Hal ini menyebabkan denyutan jantung menjadi sangat laju (Tachycardia) dan pernafasan menjadi pendek, cepat, dan tercungap-cungap (Tachypnea).

6. Keadaan Kritikal (Pitam dan Sawan)

Ini adalah tahap bahaya yang paling tinggi. Fungsi otak yang terjejas akibat haba melampau boleh menyebabkan mangsa pengsan secara tiba-tiba (syncope) atau sawan (seizures).

Bagi memastikan keselamatan ketika menjalankan aktiviti di persekitaran luar sepanjang musim panas ini, langkah-langkah pencegahan berikut seharusnya dijadikan amalan asas:

1. Pastikan Penghidratan yang Mencukupi

Kekalkan jumlah air di dalam badan dengan meminum air putih secara berterusan, walaupun kitabelum berasa dahaga. Elakkan minuman yang mengandungi alkohol, gula yang tinggi, serta minuman berkafein. Minuman jenis ini hanya akanmempercepatkan proses kehilangan air dari tubuh (dehidrasi).

2. Pemilihan Pakaian yang Sesuai

Pakaian memainkan peranan penting dalam mengawal suhu badan. Gunakan pakaian yang berwarna cerah untuk memantulkan cahaya matahari, serta material yang ringan dan longgar bagi membolehkan udara mengalir dan peluh menyejat dengan mudah. Pemakaian topi yang bersesuaian juga penting untuk melindungi kepala daripada pancaran matahari secara terus.

3. Rancang Pelaksanaan Aktiviti dengan Bijak

Susun jadual pergerakan/pelaksaan aktiviti dengan teliti. Elakkan daripada melakukan aktiviti fizikal yang berat pada waktu ‘Puncak Panas’ (kebiasaannya antara pukul 11.00 pagi hingga 4.00 petang). Pilih waktu yang lebih redup seperti pada awal pagi atau pada lewat petang.

4. Ambil Rehat Secara Kerap

Jangan memaksa diri melepasi tahap kemampuan fizikal kita. Berhentilah dengan kerap di lokasi yang mempunyai pokok atau kawasan teduh/redup. Mengambil masa untuk berehat membolehkan badan menurunkan semula suhu secara beransur-ansur.

5. Beri Masa untuk Penyesuaian Diri

Jika kita baru sahaja memulakan aktiviti luar atau sudah lama tidak bersenam di bawah matahari, mulakan dengan langkah yang perlahan. Berikan masa untuk tubuh membiasakan diri dengan suhu yang tinggi dan cuaca yang terik secara berperingkat.

6. Pantau Rakan Aktiviti 

Aktiviti rekreasi luar tidak seharusnya dilakukan secara berseorangan. Amalkan sistem pemantauan sesama rakan. Sentiasa perhatikan keadaan fizikal satu sama lain, ingatkan rakan untuk minum air dan pastikan setiap individu berada dalam keadaan sihat untuk meneruskan aktiviti.

Secara keseluruhannya, gelombang suhu panas yang melanda negara pada waktu ini memerlukan kita semua untuk mengubah cara kita berinteraksi dengan alam semulajadi. Aktiviti rekreasi dan pelancongan berasaskan alam semulajadi masih boleh dinikmati, namun pemahaman yang jelas mengenai risiko strok haba adalah syarat yang tidak boleh dikompromi. Dengan mengamalkan langkah pencegahan secara optimum,risiko komplikasi strok haba dapat diminimumkan, sekali gus memastikan keperluan untuk melakukan aktiviti kekal menjadi pengalaman yang selamat dan tidak memudaratkan.