Aktiviti Lasak Dan Alam Semulajadi


Tidak dinafikan bahawa pelaksanaan sebarang bentuk aktiviti rekreasi dan pelancongan (khususnya outdoor recreation, adventure recreation, ecotourism dan adventure tourism) sememangnya mampu mendatangkan impak kepada alam semulajadi. Ini bukanlah satu fenomena baharu dan telah sekian lama dibincangkan menerusi naskah-naskah rujukan akademik (meliputi bab penulisan dan case studies) seperti The Environmental Impacts of Outdoor Recreation hasil nukilan Wall & Wright (1977), Environmental Impacts of Recreation in Parks and Reserves dari Buckley (1991), Environmental Issues of Tourism and Recreation dari Mieczkowski (1995) serta yang agak popular iaitu Wildland Recreation: Ecology & Management sumbangan Hammit, Cole & Monz (2015)-edisi ketiga. Malah, telah wujud juga cabang ilmu yang dikenali sebagai recreation ecology dan tourism ecological impact, yang mana membincangkan secara spesifik berkaitan kesan sedia ada serta potensi impak akibat pelaksanaan aktiviti-aktiviti ini terhadap alam semulajadi.

Namun demikian, sekiranya pada masa kini kita melabelkan kegiatan-kegiatan sebegini sebagai FAKTOR PENYEBAB UTAMA KEROSAKKAN KEPADA ALAM SEMULAJADI, ianya adalah sesuatu yang kurang tepat. Malah kita mungkin kurang peka untuk melihat isu ini dari sudut yang lebih menyeluruh dan akhirnya cenderung kepada perspektif yang bersifat one-sided sahaja.

Antara output pemerhatian yang menunjangi lontaran pendapat di atas adalah kesedaran (awareness) yang dilihat semakin menebal di kalangan para penggiat, penganjur aktiviti dan penyedia perkhidmatan. Ini dapat diperhatikan dengan perlakuan kontemporari ketiga-tiga kumpulan ini di lapangan yang mana sedikit sebanyak telahpun menitikberatkan pro-environmental behaviour di dalam pelaksanaan aktiviti.

Antara contoh yang dapat diutarakan di sini adalah seperti majoriti para hikers tidak lagi membuang sampah (termasuk bahan-bahan non-biodegradable) sewenang-wenangnya di persekitaran semulajadi, mengaplikasikan konsep ‘bring in, bring out’, serta turut membawa keluar sampah (sekiranya kelihatan di sepanjang denai), walaupun bukan mereka yang membuang sampah tersebut.

Ini diperkuatkan lagi dengan tindakan trip leader, penganjur aktiviti mahupun malim yang bukan sahaja mempertontonkan tindakan pro-konservasi kepada para penggiat, malah turut menegaskan pesanan serta tindakan ke arah penjagaan alam semulajadi di dalam taklimat aktiviti (sebelum aktiviti bermula), semasa aktiviti berlangsung dan setelah aktiviti selesai.

Tindakan sama juga wujud di dalam aktiviti lain, white water rafting umpamanya, di mana river guides bukan sahaja menekankan saranan untuk tidak mencemari persekitaran sungai menerusi taklimat aktiviti, tetapi turut memperlihatkan contoh kelakuan pro-konservasi yang baik di mana akan mengumpulkan semula setiap botol minuman dan pembalut coklat yang diberikan kepada penggiat (di lokasi persinggahan aktiviti) dan membawa botol dan pembalut ini keluar dari lokasi aktiviti bersama-sama mereka.

Penggunaan kenderaan khususnya All-Terrain Vehicle, motocross dan 4×4 pada masa kini lebih cenderung dilakukan di kawasan-kawasan tertentu sedia ada sahaja berbanding secara sengaja membuka laluan baharu bagi tujuan ini. Kenderaan 4×4 yang digunakan untuk mengangkut para pendaki gunung pula hanya menggunakan laluan off-road yang sudah sedia wujud dan tidak membuka laluan baharu bagi tujuan menghantar dan mengambil semula para pendaki di sesebuah lokasi pendakian gunung.

Begitu juga dengan denai pendakian gunung yang mana dikekalkan penggunaannya (using existing trail) dan dibuat tindakan koreksional tertentu (sekiranya didapati mengalami kerosakan yang agak teruk) tanpa membuka laluan lain di kawasan baharu untuk menggantikan denai sedia ada tersebut. Tindakan-tindakan sebegini secara tidak langsung memperlihatkan kepada kita bahawa inisiatif-inisiatif bagi meminimakan impak terhadap alam semulajadi sememangnya telah dipraktikan hasil daripada kesedaran yang kian wujud di kalangan para penggiat, penganjur aktiviti dan penyedia perkhidmatan.

Selain itu, peringatan sebenar di sebalik ungkapan leave nothing but footprints, take nothing but photographs, kill nothing but time dilihat telah mula sebati dalam pelaksanaan aktiviti di persekitaran alam semulajadi. Tindakan tidak bertanggungjawab seperti graffiti (melibatkan contengan dan torehan) pada permukaan objek-objek semulajadi tidak lagi dilakukan dan digantikan dengan foto digital bagi mengabadikan kenangan di sesebuah lokasi.

Penekanan khusus juga semakin jelas kelihatan di mana para penganjur program turut menyenaraikan larangan merosakkan alam semulajadi (seperti menebang pokok atau membuka kawasan baharu bagi tujuan perkhemahan) di dalam poster aktiviti sebagai antara syarat utama menyertai aktiviti. Malah, penggunaan gadgets ataupun inovasi terkini bersifat ultra-light, environmental-friendly serta mudah dibawa bersama (seperti portable stove, hammock strap, telescopic aluminium poles dan lain-lain) juga kian mendapat sambutan dan dalam masa yang sama mengurangkan kecenderungan untuk menebang, memotong atau ‘mengorbankan’ elemen-elemen semulajadi bagi melaksanakan sesuatu aktiviti di kawasan alam semulajadi.

Dari sudut kawalan ataupun intervensi tertentu pula, inisiatif ke arah ini sememangnya telah dilaksanakan. Terdapat 4 pendekatan yang telahpun wujud dan secara progresifnya telah menjadi pemangkin terhadap pemupukan sifat dan sikap terhadap konservasi alam semulajadi.

Pertamanya, penetapan had daya tampung bagi sesebuah kawasan (terutamanya yang dimilki oleh organisasi kerajaan pusat dan tempatan) telahpun ditetapkan bagi mengelakkan ‘kebanjiran’ penggiat di sesebuah lokasi dalam sesuatu masa. Selain itu, empowerment terhadap penduduk setempat dengan mengangkat martabat dan memberi pengiktirafan sebagai pemandu pelancong alam semulajadi berkemahiran setempat (Green Badge) dan Malim Gunung Perhutanan (MGP) umpamanya, juga telah diwujudkan sebagai 1 pendekatan yang ideal dari konteks ini, yang mana mereka inilah yang bertanggungjawab mengawalselia tingkahlaku para penggiat agar tidak melakukan unnecessary damages di sesebuah lokasi pengendalian aktiviti.

Best practices dan etika khusus seperti Leave No Trace juga boleh dianggap sebagai norm dalam pelaksanaan aktiviti di kawasan alam semulajadi di Malaysia pada masa kini. Prinsip aktiviti sebegini bukan sahaja telah menjadi rujukan kepada setiap penggiat, penganjur aktiviti dan penyedia perkhidmatan, malah telahpun dijadikan piawaian menerusi beberapa dokumen di peringkat kebangsaaan seperti National Occupational Skills Standards (Land-based Adventure Tour Guiding, Water-based Adventure Tour Guiding dan Outdoor Recreational Services), Malaysia Tourism Excellence Business Certification for Adventure Tourism Operators (MaTEx ATO), Kurikulum Kursus OUTREC dan SOP Pelaksaan Aktiviti Rekreasi Luar Institusi Pengajian Tinggi.

Di samping itu, prinsip-prinsip ke arah konservasi alam semulajadi sebegini juga telah dijadikan antara pengisian wajib dalam kursus-kursus berkaitan rekreasi dan pelancongan di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan. Ini juga boleh kita lihat sebagai suatu bentuk kawalan ke arah konservasi alam semulajadi di mana pengetahuan terhadap kepentingan penjagaan alam semulajadi telah ditekankan bagi membentuk sikap dan amalan yang bertanggungjawab di kalangan penganjur aktiviti, penyedia perkhidmatan dan penggiat (termasuk di peringkat akar umbi).

Selain itu, terdapat juga kawalan yang wujud secara tidak langsung pada masa kini iaitu ‘post’ dan ‘comments’ di media sosial. Sekiranya berlaku sesuatu yang bercanggah dengan amalan konservasi alam semulajadi (yang telah dilakukan oleh golongan penggiat), akan ada penggiat, penganjur aktiviti ataupun penyedia perkhidmatan yang memuatnaik perlakuan ini di media sosial dan disahut dengan ‘kecaman’ dan ‘komen pedas’ terhadap tindakan tersebut.

Walaupun tindakan sebegini bukanlah bersifat ‘official’ ataupun hanya wujud sebagai ‘perbualan’ di kalangan ahli komuniti, namun ianya telah terbukti berjaya dalam memupuk kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam semulajadi di mana telah mendorong beberapa tindakan susulan dilakukan seperti masuk semula membersihkan kawasan tersebut, menganjurkan projek-projek restorasi kawasan ataupun menegur secara terus kepada golongan penggiat yang mengulangi tindakan tidak bertanggungjawab yang sama di tempat-tempat lain.

Akhir sekali, sebarang bentuk aktiviti lasak pada masa sekarang bukan lagi wujud sebagai hobi semata-mata. Ianya telah berkembang menjadi 1 industri menerusi inisiatif ‘penjualan pengalaman’ kepada seluruh ahli masyarakat baik domestik mahupun antarabangsa. Apabila kegiatan sebegini dijadikan sumber pendapatan, maka secara logiknya penyedia perkhidmatan dan penganjur aktiviti akan cuba sedaya upaya menjaga kelestarian punca pendapatan atau ‘periuk nasi’ mereka. Mereka tidak akan sewenang-wenangnya menyembelih the goose that lays the golden egg semata-mata untuk mendapat keuntungan melimpah ruah dalam jangkamasa singkat. Tidak ada seorang pun rakan-rakan industri yang sanggup memperjudikan keindahan alam semulajadi demi sejumlah wang ringgit!

Hakikatnya, sekiranya berlaku kerosakkan teruk di kawasan alam semulajadi yang menjadi lokasi sumber pendapatan, bagaimanakah cara mereka untuk ‘cari makan’? Begitu juga dengan golongan penggiat yang menjadi ‘pembeli pengalaman’ tersebut. Tidak akan ada penggiat yang sanggup membeli pengalaman berkayak di sungai yang tercemar, snorkeling di kawasan laut yang dipenuhi bahan buangan, hiking di denai yang dipenuhi sampah sepanjang perjalanan ataupun rock climbing di permukaan batu yang dipenuhi graffiti!

Oleh yang demikian, walaupun tidaklah diwar-warkan secara terbuka, inisiatif-inisiatif konservasi sememangnya telah menjadi agenda utama di kalangan para penyedia perkhidmatan dan penganjur aktiviti. Kawalan dan pemantauan sentiasa dilakukan dari masa ke semasa bagi menrealisasikan situasi ini termasuklah melakukan kerja-kerja pembersihan berkala di sesebuah kawasan alam semulajadi yang menjadi lokasi pengendalian aktiviti.

Rumusannya, tidak dinafikan bahawa impak ekologi sememangnya boleh berlaku hasil daripada pelaksanaan aktiviti-aktiviti lasak di persekitaran semulajadi. Namun demikian, naratif yang seolah-olah melabelkan pelaksanaan aktiviti lasak sebagai penyebab utama kepada kemusnahan atau kerosakkan alam semulajadi adalah agak ‘keterlaluan’ kerana secara relatifnya, impak yang terjadi adalah jauh lebih kecil berbanding kesan pelaksanaan beberapa sektor lain. Ini diperkuatkan lagi dengan kewujudan inisiatif-inisiatif pro-environmental behavior yang secara progresifnya telah menjadi sebahagian daripada acuan pelaksanaan aktiviti pada masa kini.