Pelancaran Perlis Produktif Dan Klinik Khidmat Nasihat Maya (BVAC) Bantu Perluaskan Pendigitalan Pentadbiran Kerajaan Negeri Dan Sektor Swasta

Malaysia kini memasuki fasa pemulihan COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara, namun usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak sama ada kerajaan, sektor awam dan swasta, pihak industri dan rakyat. 

Dengan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis hari ini melancarkan Perlis Produktif dan Klinik Khidmat Nasihat Maya (BVAC) untuk memperluaskan lagi Pendigitalan Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Sektor Swasta di Negeri Perlis. 

Ucaptama dan majlis pelancaran disempurnakan melalui platform digital atau secara maya oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Bin Man, Menteri Besar Perlis.

Menurut beliau, inisiatif Perlis Produktif merupakan satu misi Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk menjadikan Negeri Perlis sebagai sebuah negeri yang membangun secara produktif dan praktikal yakni melonjakkan lagi potensi Perlis sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan di utara semenanjung Malaysia. Usaha ini selaras dengan hasrat Negeri Perlis untuk melaksanakan “Perlis Go-Digital”, iaitu Pelan Pembangunan Digital Perlis 2021-2025. 

Di samping itu, jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri Perlis dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah bermula pada tahun sebelum ini. Antaranya dalam pelaksanaan program Pembangunan Dasar Amalan Baik Peraturan atau Good Regulatory Practice (GRP). Begitu juga, program tersebut telah memberi impak yang sangat positif dengan mengurang bebanan peraturan yang tidak diperlukan dalam semua aspek berkaitan agar ekonomi Negeri Perlis menjadi lebih kompetitif dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. 

Beliau juga berpendapat, kepentingan digital di dalam pengurusan pentadbiran Kerajaan Negeri adalah sangat penting, tambahan pula pandemic COVID-19 telah mengubah landskap pentadbiran dan proses pendigitalan urusniaga perlu menjadi normal baru perniagaan dan transaksi harian. 

Ketua Pengarah MPC, YBhg. Dato’ Abdul Latif Hj Abu Seman, Ketua Pengarah MPC turut memberikan ucapan pembukaan. Beliau mengatakan bahawa kerjasama dan usaha Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan Kerajaan Negeri Perlis adalah untuk meningkatkan dan melonjakan lagi pertumbuhan produktiviti Negeri Perlis. Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sentiasa bersedia untuk menjalankan usahasama strategik dengan kerajaan negeri untuk program-program pada masa hadapan dalam mengorak langkah ke arah Perlis Produktif. 

Sementara itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah melancarkan Laporan Produktiviti Nasional 2020. Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan produktiviti pekerja sebanyak 2.1% kepada RM93,973 pada 2019 berbanding RM92,018 pada 2018. Pertumbuhan ini telah menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.3%. Manakala, di peringkat sektoral, sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan produktiviti pekerja tertinggi sebanyak 3.3% diikuti oleh perkhidmatan (2.9%), pembuatan (1.7%), dan pertanian (0.4%). Manakala, sektor perlombongan mencatat penurunan sebanyak 1.6%. 

Malaysia turut meningkatkan kedudukan ke tangga ke-12 daripada kedudukan ke-15 sebelum ini di kalangan 190 ekonomi dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2020 Bank Dunia (World Bank’s Doing Business 2020 Report). 

Pada tahun 2019, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) meramalkan Negeri Perlis mencapai pertumbuhan produktiviti pekerja sebanyak 5.8% kepada RM59,859 daripada RM56,573 pada tahun 2018. Sektor-sektor utama ekonomi yang mencatatkan pertumbuhan produktiviti kukuh dalam tahun yang sama adalah pembuatan, diikuti pembinaan, pertanian dan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan penurunan dalam pertumbuhan produktivitinya. 

Menurut beliau Model Khidmat Nasihat Perniagaan Secara Maya atau Business Virtual Advisory Clinic (BVAC) merupakan salah-satu inisiatif yang dirangka oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk membantu industri selepas melihat keadaan industri-industri yang terjejas berikutan krisis COVID-19. Oleh itu, Melalui Business Virtual Advisory Clinic, kita akan memaksimakan penggunaan teknologi untuk berjumpa (yakni secara atas talian), berbincang, dan seterusnya memberi cadangan kepada para pemain industri untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi. Sehingga kini, program ini telah mendapat maklumbalas yang positif daripada industri. Kita melihat kesan positifnya di mana syarikat-syarikat yang telah menghadiri program ini mengambil kira dan melaksanakan saranan yang diutarakan oleh para penasihat, pada pihak MPC terdapat pengurangan kos yang ketara dan akses yang lebih mudah kepada para penggiat industri. 

Majlis ini turut disertai oleh Yang Berhormat Tuan Azman Bin Mohd Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Yang Berusaha Dr Mazrina Mohd Ibramsah Pengarah MPC Wilayah Utara, warga kerja Kerajaan Negeri Perlis, warga kerja MPC, sektor awam dan swasta, pihak industri dan media.